MALAYSIA

Asman Shah dilantik Setiausaha Kerajaan Johor baharu

Ernalisa Othman 07/07/2025 | 06:18 MYT
Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia dilaksanakan di Balai Mengadap Istana Bukit Serine, di sini, pagi tadi. - Gambar/ FB HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Asman Shah Abd Rahman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.


Ringkasan AI
  • Datuk Asman Shah Abd Rahman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor berkuat kuasa hari ini, menggantikan Tan Sri Azmi Rohani yang kini menjawat jawatan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
  • Pelantikan beliau disempurnakan dalam Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Sumpah Jawatan di Istana Bukit Serene, disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, serta beberapa pemimpin negeri.
  • Asman Shah mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri termasuk sebagai Pegawai Daerah Johor Bahru dan Datuk Bandar Pasir Gudang, serta latar pendidikan dalam bidang ekonomi dan undang-undang dari Universiti Malaya dan Universiti Chiba, Jepun.


Pelantikan beliau itu menggantikan Tan Sri Azmi Rohani yang dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia dilaksanakan di Balai Mengadap Istana Bukit Serine, di sini, pagi tadi.

Perkara tersebut diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Baginda berkenan menyampaikan penyerahan Surat Tauliah dalam majlis istiadat berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.

Antara jawatan lain pernah disandang Asman Shah termasuklah Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.

Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun.





#Asman Shah #Setiausaha Kerajaan Johor #Azmi Rohani #Tunku Ismail