IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi antara individu yang telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam percakapan berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang Seri Iskandar.

Mengesahkan perkara tersebut kepada media, Asmuni memaklumkan kehadirannya ke Pejabat SPRM Perak di sini pada 15 April lalu bertujuan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Saya sudah dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mereka pada hari Jumaat, 15 April yang lalu," katanya yang juga bekas Exco Kerajaan Perak dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Asmuni sebelum ini tampil mengemukakan laporan kepada SPRM meminta siasatan dibuat terhadap penjualan tanah bagi tapak lapangan terbang di Seri Iskandar susulan pendedahan bahawa transaksi dibuat ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan, seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

SPRM sebelum ini telah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu penjualan tanah itu bagi membantu siasatan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.


*Berita asal di Sinar Harian