Aspek keselamatan, kesalinghubungan internet intipati perbincangan dua kementerian - Fadhlina

Bernama
April 5, 2024 04:45 MYT
Aspek keselamatan kanak-kanak dalam talian antara dibangkitkan pada perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan. - Foto FB Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan kanak-kanak dalam talian antara yang dibangkitkan pada perbincangan berkaitan isu internet antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan, semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ekosistem perlindungan kanak-kanak di media sosial sentiasa menjadi 'awlawiyat' (keutamaan) kepada kementerian.
"... untuk kami terus melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman buli siber, pengantunan dan gangguan seksual," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini.
Perbincangan itu turut dihadiri oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian terlibat.
Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kementerian Komunikasi sedia membantu Kementerian Pendidikan untuk memastikan penggunaan internet dengan selamat.
Turut dibincangkan pada pertemuan itu, menurut Fahmi ialah isu kesalinghubungan internet di sekolah.
"Kementerian Komunikasi bersedia membantu Kementerian Pendidikan untuk memastikan murid dan guru dapat memanfaatkan kesalinghubungan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
#Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #kementerian komunikasi #Fahmi Fadzil #aspek keselamatan