[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Aspirasi Malaysia 2040 selari dengan Agenda Perpaduan Negara - Aaron

Bernama 11/08/2025 | 14:30 MYT
Aaron berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI, Cheras hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Aspirasi Malaysia 2040 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bukan sahaja mencerminkan cita-cita nasional, malah selari dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dalam membina negara bangsa.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata menjelang 2040, Malaysia akan menjadi sebuah negara bangsa saksama yang didiami penduduk hidup dalam masyarakat berteraskan keadilan sosial.

"Kita akan terus berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara sebagai tonggak perpaduan, dengan perpaduan dan kesatuan menjadi asas kemajuan negara. Pembinaan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah memerlukan sistem sosial yang utuh, berteraskan insan MADANI dan identiti nasional.

"Dalam konteks ini, penekanan akan diberikan kepada usaha melahirkan rakyat yang memiliki nilai kerohanian, sifat kemanusiaan serta jati diri yang teguh, di samping membina masyarakat saksama, harmoni, saling menghormati dan bersatu padu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 sempena Hari Kebangsaan di Universiti UCSI Taman Connaught, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid dan Presiden dan Naib Canselor Universiti UCSI University Prof. Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Aaron berkata pembentukan insan MADANI akan memberi tumpuan kepada reformasi sistem pendidikan dan penerapan semangat cintakan negara, manakala pembinaan masyarakat saksama dan progresif akan menekankan pengukuhan integrasi serta perpaduan, penyemaian semangat muhibah dan pemupukan budaya kesukarelawanan.

Katanya masyarakat Malaysia pada masa hadapan akan lebih bersatu padu, menghormati kepelbagaian agama, etnik dan latar belakang sebagai satu kekuatan yang menyatukan kita dalam semangat Malaysia MADANI.

"Nilai insaniah seperti hormat-menghormati, empati dan saling memahami akan terus diperkukuh untuk memastikan keharmonian sentiasa terpelihara. Komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk menjamin kehidupan yang selamat, aman dan bermaruah untuk semua rakyat.

"Marilah kita berganding bahu, menjadikan Aspirasi Malaysia 2040 sebagai panduan dan komitmen kita bersama demi masa depan negara yang lebih harmoni, makmur dan berdaya saing di pentas dunia," katanya.

-- BERNAMA



#Sistem Pangkalan Data Utama #Hari Kebangsaan #berdaya saing #semangat muhibah