Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru tokoh-tokoh agama di negara ini supaya memelihara adab dan akhlak mereka dalam menangani perbezaan pandangan berkaitan Islam.

Katanya, perbezaan pandangan dalam pelbagai isu agama Islam bukanlah perkara baru, namun semua pihak khususnya agamawan perlu menjaga perilaku supaya tidak timbul kekeliruan tentang akhlak Islam yang sebenar.

Beliau turut menegur pendekatan konfrontasi yang diambil oleh Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri, Ustaz Zamihan Mat Ghani dalam perselisihannya dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

"Saya kenal Dr Asri...secara peribadi saya kenal dia dan saya juga suka berhujah dengan dia. Tapi bila kita berhujah, kita kena berlapang dada untuk menerima kalau hujah kita tidak kukuh dan kuat serta disandarkan kepada alas-alas hadis dan al-Quran.

"Yang paling penting kita nak supaya menjaga adab. Saya tengok dalam YouTube saudara Zamin nak cabar Dr Asri. Dia kata kalau kalah letak jawatan. Saya minta antara agamawan janganlah berperwatakan macam itu," katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Mengulas mengenai cadangan debat di antara Zamihan dan Dr Mohd Asri, beliau berkata kedua-dua pihak perlu berbahas berdasarkan al-Quran dan hadis serta berlapang dada dengan sebarang perbezaan pandangan demi kemashlahatan ummah.

Ujarnya, sebagai umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka seharusnya mengambil iktibar akhlak Imam Shafie dalam menangani kritikan dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan pihak lain, termasuk para pengkritik.

"Jadi saya berharap kalau nak diadakan perbahasan, adalah dengan baik. Perdebatan tentang agama di dalam agama Islam bukan baru. Imam-imam terdahulu pun ada pengkritik, kita ada Imam Syafie tetapi kita juga ada pengkritik-pengkritik kepada Imam Syafie pada waktu itu," katanya yang juga Timbalan Menteri Luar.

BACA: Zamihan, sudah-sudahlah burukkan ulama - Dr MAZA

Reezal berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan sesi debat di antara Dr Mohd Asri dan Zamihan, yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA).

Majlis debat itu bakal diadakan setelah Dr Asri menyahut cabaran Zamihan untuk berdebat berikutan dakwaannya bahawa Mufti Perlis itu mengaitkannya dengan aliran wahabi dan keganasan.