KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal AstraZeneca memperluas tumpuannya kepada ubat-ubatan inovatif bagi penyakit jarang jumpa di Malaysia di samping mengukuhkan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

Presiden AstraZeneca bagi Malaysia, Vinod Narayanan berkata, bekerjasama dengan kalangan pakar penyakit jarang jumpa akan memberikan pemahaman yang lebih luas kepada syarikat mengenai keadaan pesakit dan pada masa sama, menamatkan keperluan perubatan yang tinggi dan tidak dipenuhi dalam bidang ini disebabkan kekurangan pilihan rawatan.

"Kami dikenali dengan ubat-ubatan inovatif. Namun, kini kami turut berhasrat menjadi pengupaya penyelesaian yang bekerjasama dalam aspek berbeza kepada pesakit, daripada kesedaran, diagnosis, ujian klinikal, rawatan, sehinggalah kepada penjagaan selepas rawatan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Penyakit jarang jumpa lazimnya adalah penyakit genetik atau diwarisi selain disebabkan jangkitan dan faktor persekitaran.

Menurut persatuan Rare Disease International, penyakit jarang jumpa boleh menjejaskan kurang daripada satu dalam 2,000 orang dan dianggarkan sebanyak 6,000 hingga 8,000 penyakit jarang jumpa dikenal pasti di seluruh dunia dan lebih 300 juta orang menghidap penyakit ini.

Mengulas selanjutnya, Vinod berkata, pembabitan AstraZeneca dalam penyakit jarang jumpa bermula selepas pihaknya mengambil alih Alexion Pharmaceuticals Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada Julai 2021.

Beliau berkata, platform biologi pelengkap inovatif Alexion akan membolehkan syarikat untuk terus merintis penemuan dan kemajuan ubat-ubatan kepada pesakit.

Berkembang dalam onkologi

AstraZeneca terus menjadi peneraju global dari segi penemuan dan pengkomersialan ubat-ubatan onkologi untuk merawat pelbagai kanser antaranya kanser paru-paru, payu dara, hati dan ovari.

Vinod berkata, syarikat itu juga sedang bekerjasama erat dengan sektor kerajaan dan swasta untuk menerapkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam sinar-X untuk meningkatkan keupayaan diagnostik bagi pengesanan dan rawatan awal kanser paru-paru.

Program Lung Ambition adalah inisiatif AstraZeneca yang menyasarkan untuk mendidik dan mendiagnosis pesakit dengan lebih awal, yang mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk terus hidup apabila dirawat lebih awal.

"Kami juga ingin memastikan terdapat akses yang mampan terhadap ubat-ubatan kami kepada pesakit yang memerlukan.

"Dalam hal ini, kami sedang bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencapai keutamaan ini menerusi program sokongan pesakit kami," kata Vinod.

Beliau berkata, AstraZaneca juga adalah sebahagian daripada Perkongsian Bagi Kemampanan dan Daya Tahan Sistem Kesihatan (PHSSR) bersama-sama Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang berusaha ke arah mendalami aspek yang diperlukan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan mampan dan berdaya tahan untuk masa depan.

Menyokong aspirasi kerajaan untuk muncul sebagai hab percubaan klinikal global

Dalam perkembangan lain, Vinod berkata, syarikat itu turut menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal bertaraf dunia seperti yang diumumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada tahun lepas.

Sehubungan itu, AstraZeneca telah mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM53.5 juta untuk dimanfaatkan menjelang 2025 bagi melaksanakan kajian berhubung keberkesanan terapi baharu dan mewujudkan pangkalan percubaan klinikal di Malaysia.

AstraZeneca akan bekerjasama dengan Penyelidikan Klinikal Malaysia dan hospital-hospital di negara ini untuk penyampaian percubaan klinikal yang terbaik.

Antara ujian klinikal yang dirancang adalah kedua-dua kajian fasa awal global dan kelulusan kawal selia berskala besar merangkumi pelbagai penyakit seperti kanser, kardiovaskular, penyakit buah pinggang kronik, asma, penyakit jarang jumpa dan lupus nefritis

Pelaburan kewangan setakat ini

AstraZeneca telah beroperasi di Malaysia selama lebih 40 tahun.

Pada 2019, syarikat memberikan komitmen untuk melabur lebih RM500 juta (US$125 juta) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memperkukuh kerjasama penjagaan kesihatan dan pembangunan bakat untuk menubuhkan hab Perniagaan Kewangan Global sebagai menyokong rantau Asia Pasifik.

Pelaburan ini turut merangkumi ibu pejabat baharu AstraZeneca di The Bousteador, Mutiara Damansara, Selangor yang mempunyai pelbagai peranan seperti kepimpinan kewangan dan perolehan di rantau ini.

"Ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan AstraZeneca untuk meningkatkan kemahiran dan pekerjaan berteknologi tinggi serta membawakan sains dan inovasi terkini untuk membantu pesakit.

"Dari segi tenaga kerja tempatan, sebanyak 98 peratus daripada lebih 700 pekerja terdiri daripada rakyat Malaysia," katanya.

- BERNAMA