Astro AWANI rangkul empat anugerah Kewartawanan Kenyalang 2021

Astro Awani
Disember 4, 2021 15:17 MYT
Fadilah (dua dari kanan) bersama rakan setugas Hafiz (kanan); Rudi Affendi Khalik (dua dari kiri) dan Mohd Nazrin (kiri) merakam gambar kenangan selepas menang empat anugerah pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2021.
KUCHING: Astro AWANI mengungguli Anugerah Kewartawanan Kenyalang kali ke 33 2021 selepas memenangi empat anugerah yang dipertandingkan.
Wakil wartawan Astro AWANI, Fadilah Sulaiman dan jurukamera Mohd Surfri Affendi memenangi Anugerah Kelestarian menerusi laporan 'Indiana Jones Sarawak Kongsi Ilmu Cari Gua' membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai.
Laporan yang mengisahkan seorang peneroka gua tempatan yang menurunkan ilmu meneroka gua kepada anak perempuannya di Tapak Warisan UNESCO Taman Negara Mulu.
Ilmu yang diturunkan kepada anaknya itu adalah bagi menambah baik data kajian mengenai penerokaan gua di Sarawak.
Turut memenangi emas menerusi kategori Anugerah Ekonomi Digital ialah laporan Sanggup Belajar Ditemani Buaya Demi Ilmu oleh Hafiz Syazwan Sali dan Mohd Nazrin Hamdan.
Laporan itu mengisahkan kegigihan seorang murid sekolah rendah yang mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di atas bot di tepi sungai ekoran kekangan capaian internet.
Selain Anugerah Kelestarian, laporan berita Pengalaman Kendali Jenazah COVID-19 karya Fadilah Sulaiman dan jurukamera, Mohd Gustie Noorambia juga telah meraih tempat ketiga bagi kategori Anugerah Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar.
Selain itu Astro AWANI turut memenangi satu lagi hadiah gangsa iaitu laporan bersiri Insiden Gunung Tabai dalam kategori Anugerah Kelestarian yang dilaporkan oleh Nuzuluddin Abdul Razak dan Mohd Nazrin Hamdan.
Malam penghargaan tertinggi kewartawanan Sarawak itu dihadiri Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Pusat- Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
#Malam Kewartawan Kenyalang #Tapak Warisan UNESCO Taman Negara Mulu #anugerah wartawan #wartawan Astro AWANI