MALAYSIA

Astro Oasis sokong inisiatif berteraskan al-Quran

Sinar Harian 25/08/2025 | 01:50 MYT
Astro Oasis melihat Malaysia #QuranHour 2025 sebagai inisiatif yang mampu menjangkau semua golongan, sekali gus menjadikannya platform penting untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan harian. Gambar kecil: Nadirah
SHAH ALAM: Saluran Islamik, Astro Oasis akan terus menyokong penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 dengan liputan menyeluruh melalui siaran langsung di televisyen dan platform digital.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, sokongan terhadap Malaysia #QuranHour bukan perkara baharu kerana pihaknya telah bersama misi itu sejak ia mula diperkenalkan pada 2015.

“Insya-Allah, Malaysia #QuranHour 2025 pada 30 Ogos nanti, Astro Oasis akan menyiarkan siaran tersebut di saluran kami seperti beberapa tahun sebelumnya.

“Bukan sahaja Malaysia #QuranHour, tetapi juga Arafah #QuranHour dan World #QuranHour, semuanya kami sokong.

“Dari dulu, Astro Oasis sudah menyokong Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Insya-Allah kami akan terus memberikan dukungan bagi inisiatif yang sangat bagus untuk masyarakat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Malaysia #QuranHour 2025 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya bakal mengetengahkan misi #ResetRasa selari tema besar iaitu ‘Merdeka Dengan Rasa’ berpandukan tiga surah utama iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali’ Imran.

Mengulas lanjut, Nadirah berkata, sebagai salah satu saluran Islam di Malaysia, Astro Oasis memikul tanggungjawab penting untuk menggunakan platformnya dalam menyebarkan ilmu dan dakwah kepada masyarakat.

“Astro Oasis akan menyediakan liputan langsung acara berkenaan di televisyen di samping mengembangkan capaian melalui kandungan digital di platform Salam Muslim.

“Semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau jantina dapat menikmati kandungan yang sesuai dengan cara mereka,” katanya.

Tambah beliau, golongan lebih berusia mungkin lebih selesa menonton di televisyen, manakala generasi muda pula memilih untuk menonton di telefon.

“Kami menyediakan kandungan di Astro Go, serta short bites seperti highlights dan snippets di Salam Muslim.

“Ini termasuk long form content, short form content, dan live update supaya semua audiens dapat dihubungkan melalui medium kegemaran mereka,” katanya.

Menurutnya, Astro Oasis turut melihat Malaysia #QuranHour 2025 sebagai inisiatif yang mampu menjangkau semua golongan, sekali gus menjadikannya platform penting untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan harian.

Ujarnya, inisiatif tersebut sangat bagus kerana ia meliputi semua aspek dan mampu menarik perhatian audiens selain membantu menghubungkan generasi lama dan baharu melalui medium berbeza tetapi dengan mesej yang sama.

Justeru katanya, Astro Oasis berharap acara tersebut dapat memberikan inspirasi kepada rakyat untuk kembali kepada nilai dan ajaran al-Quran.

“Untuk membentuk masyarakat yang berhemah dan mementingkan nilai kemasyarakatan, kita perlu kembali kepada al-Quran. Semuanya bermula daripada individu dan rumah tangga.

“Jika nilai-nilai baik ini diterapkan, kita dapat membina komuniti yang kukuh. Insya-Allah, #QuranHour akan memberi manfaat besar terutamanya kepada generasi muda yang kini memerlukan lebih banyak bimbingan,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen Astro Oasis untuk menyokong inisiatif berteraskan al-Quran pada masa hadapan, selaras dengan peranannya sebagai saluran Islamik utama di negara ini. - Sinar Harian

#astro oasis #quran hour #Yayasan Warisan Ummah Ikhlas #Sinar Harian