KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan ulang tahun ke-30, Astro memperkenalkan Astro Family Internship Programme, sebuah inisiatif latihan industri yang ditawarkan secara eksklusif kepada pelanggan setia syarikat penyiaran berkenaan serta ahli keluarga mereka yang layak.
Membawa tema "Dari generasi kita, untuk generasi seterusnya", program ini dirangka khusus untuk memberi pendedahan awal dan membina bakat muda dalam kalangan keluarga pelanggan Astro dalam menempuh alam pekerjaan sebenar.
Menerusi program tersebut, para pelatih berpeluang menimba pengalaman praktikal secara langsung bersama barisan profesional merentasi pelbagai sektor utama, termasuk industri media, hiburan, teknologi serta korporat.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa membina jaringan kerjaya, malah membolehkan mereka memahami operasi dinamik di sebalik jenama kandungan dan penyiaran terkemuka tanah air.
Pelanggan Astro dan ahli keluarga yang berminat boleh mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup pada 31 Disember 2026 menerusi pautan rasmi di https://www.astro.com.my/careers/family-internship-programme.