Atas kasih sayang ibu bapa, saya wakafkan tanah ini - Hassan Arshad

Awani Rangers UniMAP
Disember 30, 2017 13:00 MYT
Hassan (empat, kiri) mewakafkan sebidang tanah miliknya berhampiran kawasan Mata Ayer untuk pembangunan yang memberikan manfaat kepada warga kerja dan pelajar universiti keseluruhannya. -Foto AWANI Rangers UniMAP
Mantan Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ustaz Hassan Arshad mewakafkan sebidang tanah miliknya berhampiran kawasan Mata Ayer di sini untuk pembangunan yang memberikan manfaat kepada warga kerja dan pelajar universiti keseluruhannya.
Beliau yang bersara daripada perkhidmatan secara lantikan kontrak penghujung tahun 2016 yang lalu berkata niat (wakaf) tersebut sebenarnya berpunca daripada nazar yang telah dibuat semenjak pertengahan tahun 2000 yang lalu.
"Antara lainnya, saya bernazar sekiranya ada sebuah Universiti Awam (UA) yang diwujudkan di negeri Perlis ini, saya akan mewakafkan sebahagian tanah pusaka yang saya miliki untuk pembangunan universiti tersebut.
"Pada asalnya, tanah ini adalah atas nama arwah ayah sebelum dipindahkan kepada tiga orang ibu saya yang kemudiannya menguruskan hal pertukaran nama tanah kepada nama saya tanpa pengetahuan saya yang ketika itu sedang menuntut di universiti.
"Atas kasih sayang mereka kepada saya, kini saya panjangkan kembali kasih sayang itu atas nama wakaf ini agar pahala dan kebaikan ini disalurkan kembali kepada ibu-ibu dan ayah saya," katanya semasa majlis Menandatangani Surat Ikatan Amanah Tanah Wakaf bersama UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal manakala MAIPs diwakli oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor.
Berdasarkan surat Ikatan Amanah tersebut, MAIPs akan bertindak sebagai Mutawali atau pemegang amanah manakala UniMAP bertindak sebagai pentadbir kepada tanah yang diwakafkan itu.
Sementara itu, Dr Zul Azhar berkata proses wakaf tanah itu merupakan satu pengalaman baharu kepada UniMAP terutama dalam memastikan pemberi dan penerima manfaat mengikut panduan dan syarat wakaf yang ditetapkan.
"Wakaf ini juga secara tidak langsung selaras dengan harsat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan wakaf pendidikan tinggi yang berpotensi besar menjadi sumber ekonomi dalam menjana pendapatan universiti yang mana ia juga mestilah dilaksanakan dengan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri terlibat.
"UniMAP komited untuk mengurus serta mentadbir tanah ini dengan sebaik mungkin untuk memberikan kebaikan dan manfaat secara bersama kepada semua pihak,"katanya.
_________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Aniss Rahim dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.
**Awani Rangers UniMAP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
#Aniss Rahim #AWANI Rangers #AWANIRangers #Hassan Arshad #UniMAP #Universiti Malaysia Perlis #Wakaf Tanah kepada UNIMAP #Zul Azhar Zahid Jamal