MALAYSIA
ATM adaptasi kemajuan teknologi semasa seimbang negara serantau - Mohamed Khaled
Mohamed Khaled (depan) melihat sebuah anjing siber unit khas yang dikenali sebagai ‘Asuk’ yang membawa dokumen KSP KPP sebagai gimik menyempurnakan majlis pelancaran KSP KPP, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan kemajuan teknologi tinggi diadaptasi supaya tahap kesiapsiagaan aset dan anggotanya seimbang dengan negara-negara serantau.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebangkitan teknologi memuncul, seperti kecerdasan buatan dan Sistem Cyber Physical mula diguna pakai dalam operasi ketenteraan untuk membuat keputusan secara pantas dan tepat.
Beliau berkata konflik semasa di Ukraine dan Gaza telah memperlihatkan penggunaan sistem persenjataan yang canggih seperti dron tempur, peluru berpandu jarak jauh, peperangan elektronik serta sistem tanpa pemandu pada pelbagai domain.
"Perkembangan itu membawa risiko kepada keselamatan jika tidak diawasi. Oleh itu, ATM perlu memastikan kemajuan teknologi tinggi ini diadaptasi secara optimum supaya keupayaan operasi ATM terus terpelihara dan seimbang dengan negara-negara serantau," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Oleh itu, beliau berkata kementerian sedang melaksanakan perolehan baharu untuk merapatkan jurang kesiapsiagaan aset-aset ATM.
Walaupun memiliki kapasiti dan aset yang signifikan tetapi tahap kesiapsiagaan semasa aset ATM masih belum memadai untuk menghadapi ancaman moden yang semakin kompleks.
"Perolehan baharu seperti pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA, sistem udara tanpa pemandu jarak sederhana MALE UAS ANKA-S, kapal misi pesisir batch kedua serta Kapal Tempur Pesisir semuanya akan diterima mengikut jadual penghantaran oleh ATM bermula antara 2026 hingga 2030," kata beliau.
Kementerian Pertahanan turut menjalankan pelaksanaan perolehan aset pertahanan fasa dua seperti sistem persenjataan baharu, termasuklah Multi Role Support Ship (MRSS), Medium Range Air Defence (MERAD), serta meriam artileri pertahanan udara.
"Gabungan kesemua aset itu amat penting bagi menangkis ancaman moden, termasuk serangan peluru berpandu jarak jauh dan ancaman dron yang semakin berleluasa penggunaannya," kata beliau.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata pemerkasaan kesiagaan aset juga menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan, seperti pengeluaran komponen dan penyelenggaraan secara domestik.
Beliau berkata kebergantungan kepada sumber luar dari segi aset, penyelenggaraan peralatan mahupun logistik bukan sahaja meningkatkan kos malah mendedahkan sektor pertahanan kepada risiko gangguan rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa.
-- BERNAMA