Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

ATM beri kerjasama penuh siasatan kematian kadet PALAPES - Mohamed Khaled

Bernama 27/08/2025 | 10:15 MYT
Menurut Mohamad Khaled, Kementerian Pertahanan akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pelaksanaan semula proses bedah siasat ke atas pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia Syamsul Haris Shamsudin.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi Shah Alam arahkan kubur Syamsul Haris digali semula untuk membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dan prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat punca kematiannya.
  • Kementerian Pertahanan dan ATM beri jaminan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan, demi menegakkan keadilan untuk Allahyarham.
  • Syamsul Haris, 22, meninggal dunia selepas latihan ketenteraan di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Semenyih; ibunya memohon siasatan lanjut atas kemungkinan unsur jenayah.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib sepanjang siasatan dijalankan bagi memastikan keadilan untuk Allahyarham dapat ditegakkan.

"Kementerian Pertahanan akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan mengikut prinsip undang-undang yang berkuat kuasa," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih pada keesokan harinya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibunya Ummu Haiman Bee Daulatgun pada 19 Ogos lepas, yang antara lain bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan dan mencadangkan agar prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham.

-- BERNAMA




#kematian pelatih Palapes #Syamsul Haris Shamsudin #gali semula #Angkatan Tentera Malaysia #Mohamed Khaled Nordin #terkini