Ringkasan AI
- Kadar elaun anggota Angkatan Sukarela ATM sedang disemak semula bagi menggalakkan lebih ramai anggota aktif menyertai latihan dan aktiviti.
- Dianggarkan 40 hingga 50 peratus anggota berdaftar tidak aktif, menyebabkan langkah penambahbaikan penyertaan dan latihan sedang dipertingkatkan.
- Batalion Malaysia (MALBATT) akan menyerahkan 292 aset bernilai kira-kira RM42 juta kepada Angkatan Tentera Lubnan selepas tamat misi UNIFIL.
PORT DICKSON: Kadar elaun anggota Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang disemak semula bagi menggalakkan lebih ramai anggota pasukan simpanan berkenaan aktif menyertai latihan dan aktiviti dianjurkan.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata kajian itu merupakan antara pendekatan bagi meningkatkan penyertaan anggota, sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai sumber tenaga untuk menambah kekuatan angkatan tetap.
Beliau berkata semakan elaun dan peluang untuk diserapkan ke dalam angkatan tetap menjadi antara langkah yang boleh meningkatkan minat serta komitmen anggota terhadap pasukan berkenaan.
“Sudah lama tidak dikaji semula... kira-kira tahun 2022. Kita juga galakkan mereka sertai atau aktif dalam perancangan latihan serta aktiviti dijalankan oleh rejimen masing-masing. Saya fikir elaun sedia ada RM9.80 dan RM8 per jam agak rendah dalam keadaan sekarang.
“Hal ini juga memberi mereka mata sekiranya mahu menyertai atau diserapkan ke angkatan tetap kerana lebih memudahkan tapisannya. Mereka ini kita nak sebagai antara sumber untuk perkukuh angkatan tetap,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/26 membabitkan 1,485 perajurit, yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman di sini hari ini.
Malek Razak berkata berdasarkan data penyertaan, dianggarkan 40 hingga 50 peratus daripada anggota yang berdaftar didapati tidak aktif, termasuk tidak menghadiri latihan apabila dipanggil.
"Polisi mengatakan apabila tidak aktif setelah beberapa bulan ataupun tahun, kita akan keluarkan mereka daripada senarai keanggotaan. Jadi, itu tidak membantu mengekalkan Askar Wataniah ini sebagai simpanan sedangkan sasaran kita adalah nisbah satu anggota pasukan simpanan kepada seorang anggota angkatan tetap,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata beberapa pendekatan akan dipertingkatkan bagi menggalakkan penyertaan dan memastikan anggota kekal aktif termasuk mempelbagaikan kaedah latihan, menambah baik kemudahan infrastruktur serta memperkukuh strategi promosi.
Dalam pada itu, beliau berkata graduan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) diberi keutamaan untuk menyertai angkatan tentera tetap menerusi skim pengambilan pegawai graduan yang ditawarkan selain mendapat pengiktirafan kredit tambahan dalam pengajian.
“Kita rasa rugi mereka sudah menjalani latihan sebagai anggota tentera, terutama sebagai pegawai tetapi selepas tamat pengajian, mereka tidak meneruskan khidmat. Kita mahu mereka menjadi pelapis kepada pegawai dalam perkhidmatan tetap,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Batalion Malaysia (MALBATT) menyerahkan sebahagian aset sokongan kepada Angkatan Tentera Lubnan (LAF) selepas penamatan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang dijadualkan awal tahun depan.
Beliau berkata aset yang ditawarkan termasuk generator, kenderaan biasa dan peralatan sokongan lain yang tidak perlu dibawa pulang ke Malaysia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata penyerahan itu melibatkan 292 aset bernilai anggaran USD10 juta (kira-kira RM42 juta) yang akan diserahkan secara berperingkat hingga Januari 2027 bagi kegunaan kebajikan, bantuan kemanusiaan serta keamanan masyarakat setempat.
Sementara itu, Malek Razak turut menyeru golongan muda supaya merebut peluang menyertai ATM khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat (IT) selaras dengan usaha memodenkan angkatan tentera.
-- BERNAMA