Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengenal pasti anggota dari batalion infantri dan unit jurutera untuk dihantar bagi misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ATM bagaimanapun buat masa ini masih meneliti beberapa kriteria anggota terbabit sebelum mereka dihantar.

"Kita telah mengenal pasti pasukan itu, tetapi kita tidak boleh nyatakan lagi unit berkenaan...tempat pengatur gerakan itu pula terpulang kepada PBB. Buat masa ini, pihak PBB belum panggil lagi," katanya pada sidang media di Majlis Meraikan Anggota Cedera Sempena Hari ATM ke-82 di Kem Kementah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Pengaman PBB di New York 29 Sept lepas yang memberi jaminan Malaysia akan menghantar 380 pegawai dan anggota polis termasuk kumpulan tempur infantri serta unit kejuruteraan untuk misi pasukan pengaman PBB.

Sebanyak 59 anggota ATM yang cedera termasuk 45 yang bersara dirai bagi mengenang jasa dan khidmat bakti mereka semasa melaksanakan operasi atau latihan.

Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata pihaknya telah memohon kepada kerajaan mengenai kenaikan bayaran pencen kurang upaya kepada anggota tentera yang cedera semasa berkhidmat.
"In-sha-Allah bila ekonomi sudah agak stabil, mungkin akan dilaksanakan," katanya.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad.