MALAYSIA

ATM mohon pertimbangan PM pelepasan perolehan dana bagi perbelanjaan operasi

Bernama 04/02/2026 | 14:30 MYT
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Datuk Malek Razak Sulaiman ketika bertemu pengamal media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima ATM ke-24, di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan berhubung pelepasan perolehan dana bagi perbelanjaan operasi pasukan itu.


Ringkasan AI
  • ATM akan memohon pelepasan perolehan dana daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung operasi pasukan itu yang terjejas akibat pembekuan perolehan sementara.
  • Pembekuan perolehan oleh kerajaan memberi kesan langsung kepada perjalanan operasi ATM, terutamanya terhadap perbelanjaan operasi rutin harian.
  • Panglima ATM yakin permohonan pelepasan perbelanjaan operasi akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, terutamanya bagi komponen operasi yang kritikal seperti anggaran RM2 bilion untuk tentera darat.


Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata walaupun pembekuan perolehan yang diputuskan kerajaan pada bulan lepas bersifat sementara, tindakan itu memberikan kesan langsung kepada perjalanan operasi semasa ATM.

"Apabila perolehan dibekukan atau ditahan buat sementara, perkara ini akan menjejaskan perjalanan sama ada dari segi pelan pembangunan atau operasi, namun kesan jangka pendek adalah terhadap perbelanjaan operasi yang mengurus rutin tugasan harian yang sedang berlaku sekarang.

"Sebarang kelewatan berterusan boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan keseluruhan, kesiapsiagaan kami akan menurun jika perbelanjaan operasi terus dibekukan, ini perkara yang serius," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima ATM ke-24 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Malek Razak berkata permohonan itu akan dikemukakan dalam tempoh seminggu dan pihaknya akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya melepaskan perbelanjaan operasi supaya ATM dapat bergerak ke hadapan.

Beliau turut yakin Perdana Menteri akan memberikan pertimbangan sewajarnya sebaik justifikasi yang diperlukan dikemukakan, khususnya bagi komponen perbelanjaan operasi yang paling kritikal.

"Saya dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bahawa dokumen yang memperincikan perbelanjaan pengoperasian yang harus diteruskan dan tidak dibekukan berada pada peringkat akhir semakan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri.

"Saya percaya dengan perhatian Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan, dengan justifikasi yang kami kemukakan, beliau sekurang-kurangnya akan melepaskan bahagian terpenting perbelanjaan operasi," katanya.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata perbelanjaan operasi itu dianggarkan RM2 bilion bagi tentera darat, dengan kira-kira RM1.5 bilion masing-masing untuk tentera laut dan tentera udara.

Pada 16 Jan lepas, Anwar mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi dalam ATM.

Susulan itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya juga akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan dan perundangan yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA



#Angkatan Tentera Malaysia #Panglima ATM #pelepasan perolehan dana #perbelanjaan operasi