MALAYSIA
ATM perlu sentiasa dilengkapi teknologi pertahanan terkini - Agong
Sultan Ibrahim bertitah, amat penting untuk pasukan keselamatan negara itu supaya sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah memberikan peringatan kepada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa peralatan serta persenjataan terkini adalah amat mustahak.
Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM bertitah, adalah amat penting untuk pasukan keselamatan negara itu supaya sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Peperangan ini juga melihatkan bagaimana Iran dan Israel dengan mudah menggunakan maklumat yang diperolehi syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk serangan.
"Oleh sebab itu adalah amat penting ATM untuk sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.Ini kerana kita tidak tahu siapakah lawan dan siapakah lawan," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet ATM Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menegur mengenai budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera.
Tegas baginda, tidak semua maklumat perlu dikongsikan.
"Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat berhubung organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif mengenai ATM.
"Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal dan fikiran.
"Jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum. Adalah lebih baik kita beringat, supaya tidak menyesal kelak kemudian hari," titah baginda lagi.
#ATM
#Angkatan Tentera Malaysia
#teknologi pertahanan
#Yang di-Pertuan Agong
#Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja