ATM tangkis cubaan godam sistem keselamatan negara - Hishammuddin

Bernama
Ogos 28, 2016 09:58 MYT
aib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) beramah mesra dengan ahli UMNO ketika hadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Setiawangsa hari ini. - Gambar Bernama
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Unit Khas Pertahanan Siber berjaya menangkis beberapa tindakan pihak tertentu yang cuba menggodam sistem pertahanan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, berkata ATM telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangkis cubaan berkenaan.
"Dari tahun lepas lagi (ATM) bekerjasama rapat dengan negara tertentu supaya maklumat rahsia berhubung aset ketenteraan kita, maklumat lain, dapat kita pastikan tidak boleh diceroboh dan diserang mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan kebocoran maklumat kapal selam Scorpene yang turut dibeli Malaysia daripada syarikat pertahanan DCNS Perancis.
Media Australia pada Khamis dipetik sebagai melaporkan kebocoran maklumat dokumen sulit mengandungi 22,400 muka surat yang mendedahkan secara terperinci kemampuan kapal selam Scorpene yang dibina untuk Tentera Laut India.
Hishammuddin berkata ATM akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti berkenaan.
Terdahulu beliau merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.
#Angkatan Tentera Malaysia #DCNS Perancis #Hishammuddin Tun Hussein #pertahanan #Unit Khas Pertahanan Siber