KUALA LUMPUR: Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber dilaporkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata angka yang tinggi itu membimbangkan perancang dan pengamal pertahanan.

"Berikutan kewujudan dan kemunculan bahaya tersebut, pihak kerajaan dan ATM telah mempertingkat kapasiti keselamatan siber masing-masing dalam meramal, mengesan, mencegah dan bertindak terhadap ancaman ini.

"Seperti kita sedia maklum usaha mengekang ancaman siber ini bukanlah murah, berikutan teknologi dan modus operandi pelanggaran keselamatan siber berkembang dengan begitu pantas, melampaui masa yang diambil untuk melaksanakan langkah memeranginya," katanya.

Affendi berkata demikan dalam ucaptamanya menerusi seminar bertajuk "It Is Safe To Outsource Cyber Security Outside Your Borders?" (Adakah Selamat Untuk Penyumberluaran Keselamatan Siber di Luar Sempadan) anjuran Defence Services Asia (DSA) menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM1.8 bilion untuk mentransformasikan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menangani ancaman tersebut, selari dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024.

Katanya, penilaian NACSA dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 itu telah menjangkakan berlakunya peningkatan ancaman siber.

Justeru, bagi menangani isu berkenaan, Affendi berkata ATM telah menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaras dengan Kertas Putih Pertahanan, sebagai sebahagian daripada langkah untuk memastikan keupayaan menghadapi ancaman siber.

Beliau berkata kerajaan dan agensi-agensi keselamatan lebih cenderung memilih untuk mengekalkan langkah keselamatan siber dalam lingkungan sempadan nasional, dalam mematuhi undang-undang dan strategi keselamatan siber negara, bagi membolehkan pihak tersebut mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas persekitaran dan infrastruktur.

"Sedia maklum, perang dingin moden berlaku dalam talian pada masa kini, dalam keseluruhan persekitaran kerajaan secara kaedah perang hibrid. Oleh yang demikian, menggunakan sumber luar untuk menjaga keselamatan siber berisiko mendedahkan negara kepada bahaya," tambahnya.

-- BERNAMA