Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menunggu laporan penuh siasatan kemalangan menimpa Allahyarham Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di Missouri, Amerika Syarikat.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata laporan berkenaan akan disediakan secepat mungkin oleh pihak tentera Amerika.

"Laporan itu meliputi siasatan menyeluruh termasuk punca kejadian dan empat lagi penuntut tentera dari negara luar yang terlibat dalam kemalangan bencana banjir berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat ATM bertemakan "Perpaduan Nadi Transformasi ATM" di Masjid Khalid Al Walid di sini hari ini.

Zulkifeli berkata pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kepada ATM, dan ATM akan menjaga kebajikan keluarga arwah.

Terdahulu, Zulkifeli turut berarak dari padang kawad Kem Kementah ke masjid berkenaan bersama 800 anggota yang terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Jenazah arwah Hasman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menggunakan pesawat China Airlines dalam sekitar 1.15 tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Melaka dan diberikan penghormatan terakhir dan disolatkan di Masjid As-Syuhada Kem Terendak, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.

Jenazah Hasman selamat tiba di New York pada 5.30 pagi Ahad lalu selepas diterbangkan menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri, Sabtu lepas.

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan tenteranya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya itu.

Rabu lepas, Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia).