MALAYSIA
ATSN 2025 platform lahirkan pemimpin muda negara

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bergambar bersama kesemua pemenang kategori pada malam Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 (ATSN 2025), di putrajaya, malam semalam. -Foto Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
PUTRAJAYA: Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 terus menjadi platform penting dalam mengiktiraf sumbangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT), selain melahirkan barisan pemimpin muda berwibawa untuk masa depan negara.
Ringkasan AI
- Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 mengiktiraf sumbangan mahasiswa IPT dalam kepimpinan, inovasi dan pembangunan holistik, dengan Ng Zhen Fan Shankar dari UPSI dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara.
- ATSN turut memberi penghargaan kepada pelajar seperti Sugunah Sandran dalam kategori inovasi dan Majlis Perwakilan Pelajar UMS dalam kategori kepimpinan, sebagai pemangkin semangat kenegaraan dan daya saing.
- Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan ATSN bukan sekadar pengiktirafan, tetapi platform untuk menggilap bakat kepimpinan dan keterampilan mahasiswa demi masa depan negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman berkata, penganjuran ATSN juga berperanan mengenal pasti pelajar yang bersifat holistik serta mempunyai motivasi tinggi, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan kerjaya lebih baik.
“Tujuannya adalah bagi membolehkan pelajar kita terus mengasah bakat dan berbakti kepada negara. Kita ingin mencari pelajar yang holistik, bermotivasi tinggi serta memiliki keterampilan yang cemerlang,” ujarnya.
Majlis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu turut bertujuan memupuk semangat kenegaraan, meningkatkan daya saing serta mengiktiraf sumbangan organisasi pelajar di IPT.
Bagi anugerah Tokoh Siswa Negara 2025, pengiktirafan tertinggi itu dinobatkan kepada Ng Zhen Fan Shankar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang membawa pulang hadiah berjumlah RM5,000, trofi kemenangan serta biasiswa bagi Tokoh Siswa.
Sementara itu, Pemenang bagi kategori Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa, Sugunah Sandran menegaskan bahawa inovasi bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi bagaimana sesuatu inovasi itu mampu memberi impak kepada masyarakat.
“Inovasi bukan hanya tentang produk. Ia tentang sejauh mana kesannya kepada masyarakat, pelajar, dan semua orang di sekeliling.
"Inovasi saya banyak tertumpu kepada produk berasaskan protein alternatif, makanan lestari serta penambahbaikan berterusan melalui program antarabangsa,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa.
“Jangan berhenti. Jika ada kegagalan, jadikan ia sebagai maklum balas. Ambil semua orang dalam hidup anda sebagai mentor, kerana saya percaya setiap orang boleh memberi sesuatu yang bermakna,” tambahnya.
Bagi kategori Sinergi Kepimpinan Siswa, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai penerima.
“Anugerah ini dapat menjadi pemangkin kepada rakyat Sabah untuk sedar bahawa mereka mampu bersaing di peringkat kebangsaan.
"Saya harap ia juga dapat mendorong mahasiswa UMS untuk menceburi bidang di luar akademik, seterusnya meraih lebih banyak kejayaan di peringkat nasional pada masa akan datang,” menurut kenyataan wakil MPP UMS.
Kesemua anugerah pada majlis berprestij ini, termasuk empat Anugerah Penghargaan Khas, telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami