Atur perlawanan: 'Ah Chong' dibebaskan dengan jaminan SPRM

Hakim Rahman
April 21, 2017 04:54 MYT
Khairul Anuar Baharom atau dikenali sebagai Ah Chong dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini. - Foto SPRM
Bekas pemain bola sepak Kebangsaan, Khairul Anuar Baharom atau dikenali sebagai Ah Chong hari ini dilepaskan dari tahanan reman dengan jaminan RM50,000 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama tiga orang penjamin.
Jaminan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Putrajaya, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.
Khairul, 43, diwakili oleh peguam Ridha Abdah Subri.
Dia sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) SPRM berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukan Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA).
Khairul ditahan pada Jumaat lalu selepas menyerah diri kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.
Pada 6 April lepas, tiga pemain bola sepak MISC-MIFA termasuk seorang pemain import turut ditahan reman kerana dipercayai mengambil rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk menentukan perlawanan.
#Ah Chong #Khairul Anuar Baharom #Mahkamah Majistret #Putrajaya #SPRM