KUALA LUMPUR: Persepsi awam akan mendominasi isu audio tular yang dikaitkan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia selepas Anwar dilihat tidak menyatakan dengan jelas berhubung dakwaan tersebut yang kini menjadi persoalan rakyat teramai.

Bagaimanapun, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isu audio melibatkan pemimpin politik bukan sesuatu yang baharu di negara ini.

"Kalau dilihat tadi, Anwar tidak menyatakan secara jelas sama ada beliau dan Ahmad Zahid (yang didakwa) merupakan suara dalam audio tersebut.

"Isu ini akhirnya  akan meminta persepsi awam (menilai) mengenai siapa yang sebenar.

"Pandangan saya, melihat bahawa ini bukan perkara yang asing, sebelum ini telah berlaku banyak kali insiden audio yang dibocorkan," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.


Audio tular | Kalau betul, apa masalahnya? - Anwar

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Anwar nafi terbabit dalam audio tular perbualan bersama Zahid

Beliau sebelum itu menjadi antara tetamu dalam diskusi Program Minda TV: Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang menampilkan Anwar sebagai panel.

Ditanya sama ada penularan audio itu menjejaskan landskap politik negara, Mohd Azizuddin berkata impak besar hanya akan dilihat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Dalam konteks ini saya rasa, audio ini tidaklah sangat memberi kesan kepada politik Malaysia secara umum, tetapi ia memberi persepsi terhadap apa yang berlaku dalam politik Malaysia.

"Impaknya mungkin minima, tetapi impak lebih besar adalah terhadap keputusan politik yang akan diambil Anwar, Pakatan Harapan, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Ini yang akan ditentukan dalam hala tuju politik Malaysia pada masa akan datang terutama sekali PRU15," katanya.

Anwar dalam sesi tersebut tidak secara jelas menyatakan pendirian beliau apabila ditanya berkenaan ketulenan audio tersebut.

"Kalau betul.. kalau betul.. apa masalahnya? Ada khianat di situ? Ada rasuah di situ? Ada kesalahan jenayah? Tidak ada," katanya.

Rakaman Audio | Polis akan panggil Ahmad Zahid, Anwar