PUTRAJAYA: Kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU), telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata usaha itu adalah sebahagian daripada agenda pembentukan One Higher Education Act, yang dilancarkan pada Januari 2026.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil kira keperluan untuk memperbaharu kerangka perundangan pendidikan tinggi negara, dengan merangka sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU.
“Saya mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ), berhubung kenyataan beliau untuk memansuhkan AUKU ketika ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata AUKU bukan semata-mata akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
“Oleh itu, pemansuhannya perlu disusuli suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata proses itu akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk pemimpin universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti, penyedia TVET, pakar perundangan, mahasiswa serta pihak berkaitan.
“Matlamat usaha itu bukan sekadar memansuhkan sebuah akta, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan, bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan IPT terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara, yang dimulakan menerusi RPTM 2026-2035 bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan mampu menghadapi perubahan pendidikan global.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Beliau berkata langkah tersebut diambil susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
-- BERNAMA