AUKU tidak dimansuh, akta baharu ibarat 'salin kulit' sahaja - Mohammad Yusof

Umavathi Ramayah
Mac 16, 2023 07:53 MYT
Mohammad Yusof Apdal menyifatkan, pengenalan akta baharu menggantikan AUKU umpama sekadar salin kulit sahaja. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan tidak akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, kata Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan itu berpendapat, langkah paling tepat adalah untuk membuat pindaan terhadap akta itu.
Beliau turut menyifatkan, pengenalan akta baharu menggantikan AUKU umpama 'sekadar salin kulit' sahaja.
"Kementerian juga berpandangan, perkara-perkara yang dilihat boleh ditambah baik atau dipinda hendaklah diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.
"Namun, melihat kepada kepentingan AUKU dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerajaan dan masyarakat, kementerian berpendirian bahawa pendekatan melakukan pindaan adalah langkah yang lebih tepat berbanding memansuhkan terus AUKU secara keseluruhan.
"Apatah lagi sekiranya pengenalan akta baharu bagi menggantikannya hanya akan mengambil kembali dan mengguna pakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada seperti di dalam AUKU.
"Tindakan ini tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian kepada soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) tentang kesudian kementerian memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi Baharu berdasarkan kertas polisi Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU yang ditubuhkan pada 2018 berserta garis masa dan pelan kerja pemansuhan AUKU.
Dalam pada itu, berhubung Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU 2018, Mohammad Yusof berkata saranan dan dapatan jawatankuasa tersebut telah diambil tindakan dan terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi.
"Ia termasuk mengambil kira pindaan AUKU pada 2019 yang membenarkan mahasiswa untuk berpolitik di dalam dan luar kampus serta bertanding di dalam pilihan raya dengan pelaksanaan fasa pertamanya sedang dimuktamadkan.
"Ia turut melibatkan langkah membangunkan beberapa garis panduan yang bersesuaian bertujuan memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus dengan cara yang selamat serta teratur.
"Ia kini dalam peringkat pemurnian sebelum diedarkan ke semua universiti awam untuk tindakan dan pelaksanaan sementara fasa kedu akan melihat keperluan meminda atau memansuh beberapa peruntukan yang seterusnya di dalam AUKU,” katanya.
Mohamad Yusof berkata kementerian juga sedang meneliti semua peruntukan berkaitan dengan pelajar di dalam AUKU khususnya berkenaan urusan akaun dan kewangan persatuan mahasiswa.
#Kementerian Pendidikan Tinggi #AUKU #Dewan Rakyat #mansuh