KUALA LUMPUR: Kerajaan Australia menawarkan geran berjumlah lebih AUD1 juta bagi tempoh tiga tahun untuk menyokong organisasi masyarakat sivil (CSO) Malaysia yang layak dalam memajukan pembaharuan serta melaksanakan inisiatif sosial dan ekonomi.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata permohonan geran itu terbuka kepada semua CSO tempatan di seluruh negara tanpa mengira bidang yang diperjuangkan.
“Jadi, ini menjadikannya lebih adil dan bukan hanya organisasi besar yang sama sahaja yang sentiasa mendapat peluang,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Pusingan Geran Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) di bawah Australia-Malaysia Kerjasama Program (AMKP), yang turut menandakan pembukaan permohonan Program Bantuan Langsung (DAP) 2026-27, di kediamannya di sini semalam.
Beliau berkata tiada jumlah penerima ditetapkan kerana pemilihan bergantung kepada kualiti dan skop cadangan yang diterima, manakala pembiayaan boleh diberikan bagi projek selama setahun atau inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
Heinecke berkata geran masyarakat sivil itu akan melengkapi kerjasama Australia dengan kerajaan Malaysia, organisasi antarabangsa dan badan pemikir, dengan penekanan terhadap usaha menyokong pembaharuan yang dikenal pasti sebagai keutamaan negara.
Beliau memberi contoh sokongan Australia terhadap proses pembaharuan Kebebasan Maklumat (FOI) Malaysia yang melibatkan kerjasama dengan kerajaan dan masyarakat sivil.
Beliau berkata program dua hala yang lebih luas itu berkembang daripada tumpuan yang sebelum ini lebih menjurus kepada pembaharuan institusi dan penyertaan politik kepada turut merangkumi pembangunan ekonomi dan ketidaksamaan.
Diumumkan Menteri Luar Australia Penny Wong pada 2025, program kerjasama pembangunan dua hala selama empat tahun antara Australia dan Malaysia yang dikenali sebagai AMKP menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 serta usaha memperkukuh pertumbuhan inklusif, tadbir urus, perlindungan sosial dan kesaksamaan gender.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Australia, geran CSO boleh menyokong inisiatif dalam bidang tadbir urus dan pembaharuan institusi, pembangunan ekonomi, pendidikan, pembangunan komuniti dan luar bandar, kesaksamaan gender, kesaksamaan bagi golongan kurang upaya dan keterangkuman sosial serta daya tahan iklim.
Mengenai perbezaan antara kedua-dua bentuk pembiayaan itu, Heinecke berkata geran CSO lebih menjurus kepada pembaharuan termasuk demokrasi berparlimen, dasar ekonomi dan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, manakala DAP menawarkan lebih banyak fleksibiliti bagi perkhidmatan praktikal kepada masyarakat.
Pusingan terbaharu DAP menawarkan geran sehingga AUD66,500 bagi projek yang dilaksanakan dalam tempoh sehingga dua tahun.
Kerjasama sebelum ini termasuk menyokong latihan kemahiran untuk belia Orang Asli menerusi Dignity for Children Foundation serta usaha pemuliharaan bersama Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo.
Permohonan bagi kedua-dua geran itu ditutup pada 15 Nov, manakala pemohon yang berjaya dijangka dimaklumkan menjelang akhir Disember tahun ini.
Maklumat lanjut mengenai permohonan boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tinggi Australia.
-- BERNAMA