MALAYSIA

Austria berhasrat perluas kerjasama dengan Malaysia - Duta

Bernama 23/01/2026 | 12:30 MYT
Gerhard Eisl juga memberitahu, bahawa syarikat Austria yang sedia ada di Malaysia menyatakan keinginan mereka untuk memperluaskan operasi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Austria berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia melalui jalinan kerjasama erat dalam bidang pelaburan baharu, penyelidikan akademik dan kepentingan politik.

Duta Besar Austria ke Malaysia, Gerhard Eisl, berkata Austria melihat Malaysia memainkan peranan penting dalam ASEAN dan kedua-dua negara berkongsi banyak kepentingan bersama.

"Ini memandangkan Malaysia adalah pusat kepada Asia Tenggara, dan Austria juga berada di tengah-tengah rantau Eropah. Jadi kita adalah dua negara yang penting. Kita berkongsi banyak sifat yang sama. Kita bekerjasama rapat dalam isu pelucutan senjata nuklear," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena lawatannya ke ibu pejabat Bernama pada Khamis.

Malaysia dan Austria menjalinkan hubungan diplomatik pada 1962.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 60 syarikat Austria yang beroperasi di Malaysia, dengan sebahagian besarnya dalam industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, teknologi canggih, automobil, dan produk pengguna gaya hidup.

"Mereka sangat berminat dengan Malaysia dan pasaran Malaysia. Akan ada pembukaan sebuah syarikat Austria menjelang akhir Mac dalam bidang kuasa hidro. Terdapat juga banyak lagi syarikat yang mahu datang, yang sedang dalam proses meneroka," katanya sambil menambah bahawa lebih banyak pelaburan Austria dalam kenderaan elektrik (EV) juga dijangka masuk ke Malaysia.

Duta itu menambah bahawa syarikat yang sedia ada di Malaysia menyatakan keinginan mereka untuk memperluaskan operasi di sini.

Menurut Eisl Austria juga merupakan antara peneraju global dalam sektor rel dan mahu memperluas kerjasama dalam bidang itu.

Dalam bidang akademik, beliau berkata Austria bekerjasama dengan Malaysia melalui Rangkaian Universiti Akademik ASEAN-Eropah (ASEA-UNINET), sebuah rangkaian universiti yang terdiri daripada universiti Eropah dan Asia Tenggara, bagi mempromosikan pengantarabangsaan pendidikan dan penyelidikan.

"ASEA-UNINET adalah rangkaian dengan penyertaan lapan universiti Malaysia dan 21 universiti Austria," kata Eisl.

Beliau turut memuji kejayaan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun lepas, dalam mencapai gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta dengan Timor-Leste menjadi anggota ASEAN ke-11.

"Kemungkinan besar, lawatan politik daripada satu kumpulan dari Austria ke Malaysia dijangka pada bulan Mei," katanya.

Eisl menyatakan bahawa dengan jangkaan pemeteraian perjanjian perdagangan bebas EU dengan Malaysia menjelang 2027, ini akan menjadi situasi menang-menang bagi Austria, sebagai sebahagian daripada EU dan Malaysia, untuk bekerjasama dengan lebih erat lagi.

-- BERNAMA


#austria #duta #kerjasama #gerhard iesl #Malaysia #perniagaan #perdagangan