TANJUNG MALIM: Cendekiawan, perancang bahasa tamadun alam Melayu dan persuratan Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan menerima Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2023, semalam.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mendapat anugerah berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Majlis Hari Raya Aidilfitri UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.

Anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor itu pernah menyandang Kursi Za'ba di UPSI dan penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing, China selain menjadi profesor tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa.

Awang menerima hadiah wang tunai RM5,000, selempang tokoh serta sijil iringan.

Beliau merupakan antara penerima anugerah pelbagai kategori sempena sambutan Hari Guru yang turut dianugerahkan kepada 22 penerima lain.

Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Tuanku Zara terdahulu berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Alumni kepada lapan penerima antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari; Sasterawan Negara 2022 Datuk Rahman Shaari; penerima Hadiah Sastera Malaysia 2014 Prof Dr Abdul Halim Ali; dan komposer terkenal Rozman Shafie yang juga dikenali sebagai LY.

Seterusnya, 14 guru turut terpilih menerima Anugerah Guru Cemerlang antaranya Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan Abd Rahman Ali Bashah; Pemenang Malaysia Teacher Prize 2022 Anuthra Sirisena; dan Tokoh Abdullah Uraiqith-Sambutan Maulidur Rasul Negeri Melaka 2021, Chan Chin Ho.

Keseluruhan penerima Anugerah Tokoh Guru Alumni dan Anugerah Guru Cemerlang membawa pulang duit syiling "Peringatan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI" dan sijil iringan.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih berkata tema "Guru Insani Pemangkin Generasi Madani" pada tahun ini amat bertepatan dengan aspirasi menjulang pendidik yang berilmu dan tinggi nilai pekerti.

Beliau berkata tema itu amat simbolik dengan peranan sebenar guru dalam membangunkan jiwa murid agar tidak bersandar terhadap bilangan "A" yang dicapai semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata membangun generasi bangsa holistik merangkumi adab, akhlak dan akademik.

"Pincanglah pendidikan sekiranya murid cemerlang akan ilmunya, namun kecundang budi pekertinya," katanya.

-- BERNAMA