Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyuarakan kebimbangan tentang kemunculan penjajahan baharu dalam era Internet iaitu berkaitan kawalan terhadap pemikiran masyarakat.

Beliau berkata media - dan bank - adalah sangat penting kepada apa yang boleh dianggap sebagai bentuk baharu penjajahan.

"Ia pada dasarnya penjajahan minda. Ia berkesan 100 tahun yang lalu apabila barat memulakan tindakan mengawal sesebuah negara dengan menentukan bagaimana rakyatnya berfikir.

"...dan pada masa kini apa yang diperlukan adalah media, tidak terkecuali media sosial, untuk menjatuhkan negara jika strategi yang betul diterapkan," kata beliau dalam blog sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata demikian dalam posting bertajuk 'Penjajahan Baharu Dalam Era Internet' yang berkisar tentang sebab dunia dan negara seperti Malaysia berdepan bahaya dijajah serta bentuk penjajahan itu.

Salleh menarik perhatian bahawa pada masa lalu, selama lebih 2,000 tahun, penjajahan seringkali dilakukan menerusi campurtangan tentera atau pendudukan, bagaimanapun kini penjajahan seperti itu tidak lagi terpakai.

"Kuasa-kuasa besar perlu menjajah negara seperti Malaysia melalui penguasaan ekonomi dan melalui apa yang disebut secara kasar sebagai 'kawalan minda'.

"Anda perlu menentukan pendapat umum dan memandu pemikiran rakyat. Dan dengan populariti Internet, perkara ini tidak lagi mustahil," kata Salleh.

Mengimbas semula sejarah, Salleh berkata Darurat di Tanah Melayu, Perang Korea, Perang Vietnam dan konflik lain menunjukkan bahawa kekuatan ketenteraan tidak lagi memadai kerana untuk menguasai sesebuah negara memerlukan lebih daripada sekadar senjata.

Salleh merujuk kepada fakta bahawa Amerika Syarikat menggunakan tentera dalam Perang Korea dan Vietnam namun tidak begitu berjaya manakala British pula berjaya dalam perjuangan untuk memenangi hati dan minda rakyat.

"...dan itulah sebabnya Malaysia bukan negara komunis hari ini, satu daripada beberapa buah negara yang menang dalam perang menentang komunis," katanya.

Malaya, kata beliau, adalah terlalu penting kepada British dan mereka tidak mampu untuk kehilangan tanah jajahan yang amat berharga ini.

"Britain telah hampir bankrap disebabkan Perang Dunia II dan Malaya menyumbang dua pertiga daripada ekonomi British. Tanpa Malaya, Britain akan mengambil masa yang lebih panjang untuk kembali pulih," katanya.