Keengganan kerajaan Selangor memulakan catuan air, walaupun paras air di empangan Sungai Selangor kini menyusut ke paras 32.48 peratus, seolah-olah menunjukkan ia begitu yakin musim hujan pasti bermula bulan depan.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (AWER) S. Piarapakaran berkata catuan air bermula sekarang merupakan langkah profesional bagi mengelak penduduk Selangor dan Kuala Lumpur daripada mengalami krisis air yang teruk seperti yang berlaku awal tahun ini.

"Catuan air sebelum ini dikenakan apabila air di empangan Sungai Selangor berada di paras 46 peratus. Paras air terendah di empangan Sungai Selangor ketika catuan sebelum ini dikenakan ialah kira-kira 36 peratus. Paras air di empangan Sungai Selangor sekarang ialah hanya 2 peratus melebihi paras kritikal (paras kritikal ialah 30 peratus).

"Oleh itu, senario amat teruk akan terjadi jika tempoh antara monsun tiba lewat atau hujan berkurangan dalam tempoh antara monsun atau berlaku El Nino, yang mengakibatkan cuaca kering. Kita akan menghadapi krisis air yang sangat buruk," katanya kepada Bernama.

Menurut laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) www.luas.gov.my, paras air di Sungai Selangor pada 8 pagi ini ialah 32.48 peratus berbanding 32.74 peratus pada Ahad.

Keadaan itu memberi risiko jangka panjang kepada industri air dan orang ramai selagi Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) belum disiapkan kerana kedudukan bekalan dan permintaan terhadap air terawat hampir setara.

Ditanya kemungkinan darurat air diisytiharkan, beliau berkata catuan air perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Apabila darurat air diisytihar, bekalan akan lebih diperketat. Sekiranya kerajaan Selangor mengenakan catuan dengan secepat mungkin, ia boleh membantu memanjangkan tempoh hayat empangan Sungai Selangor.

"Lagipun, darurat air memerlukan kelulusan Kabinet dan perintah ini mestilah diwartakan sebelum ia dilaksanakan mengikut Seksyen 56 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya.

Piarapakaran berkata pihak berkuasa perlu memberi notis sekurang-kurangnya seminggu bagi memastikan pengguna di kawasan terjejas bersedia menghadapi catuan air dan menjamin wujudnya kelancaran komunikasi.

"Pihak berkuasa juga perlu menyediakan lebih banyak lori tangki kerana terdapat lokasi yang mengalami tekanan amat rendah, yang tidak memungkinkan pengguna mendapat bekalan air. Masalah ini didapati berlaku ketika catuan dilakukan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pengguna dinasihat menutup bekas menyimpan air bagi mengelak pembiakan nyamuk.

Mereka juga disaran mengurangkan penggunaan air, terutama di dapur, bilik mandi, tandas dan taman.

Orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak cara penjimatan air melalui laman sesawang AWER, Catch d' Hydro www.water.org.my.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Carol Pelly berkata SPAN belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan Selangor untuk mengenakan catuan air.

"Kerajaan Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab bagi bekalan air mentah di negeri itu. Mereka ada kuasa untuk mengisytiharkan catuan air," katanya kepada Bernama.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Priscilla Alfred juga berkata syarikat itu tidak menerima sebarang arahan untuk memulakan catuan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan.