NATIONAL

AWES25: Malaysia terajui usaha perkasa ekonomi wanita ASEAN - Tengku Zafrul

Pia Ernadya 24/05/2025 | 06:45 MYT
Tengku Zafrul berkata inisiatif itu selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan". - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi perintis kepada penubuhan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang akan beroperasi di ibu negara.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pusat berkenaan akan menjadi platform serantau untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam sektor ekonomi serta menyokong pembangunan kapasiti wanita ASEAN.

“(Pihak kami) sentiasa terbuka untuk berbincang mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh.

“Kami mengalu-alukan segala bentuk cadangan, idea dan pandangan yang dikemukakan sepanjang sidang kemuncak ini diadakan pada hari ini dan esok.

"Kami yakin, daripada sesi perbincangan ini akan lahir pelbagai cadangan yang bernas dan realistik, yang akan dibawa ke perhatian kerajaan, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta kementerian-kementerian berkaitan yang lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang media ASEAN Women Economic Summit 2025, di ibu negara pada Sabtu.

Beliau berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia turut berperanan penting dalam menetapkan penanda aras baharu bagi memperkasakan wanita di rantau ini.

“... Sangat penting untuk kita highlight polisi yang inklusif dan juga membantu golongan profesional wanita dan juga golongan-golongan mereka yang semua terlibat lah.

“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen kita untuk menutup gender gap dalam semua aspek - daripada pendidikan, penjagaan kesihatan, sehinggalah kepada penyertaan dalam pasaran buruh,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa Malaysia perlu memperluaskan kumpulan bakat (talent pool) negara bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi.

"Ini kerana, penglibatan aktif wanita dalam sektor ekonomi bukan sahaja memberi impak sosial yang signifikan, malah turut menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

#ASEAN25 #ASEAN 2025 #Tengku Zafrul #Wanita ASEAN