GUA MUSANG: Cinta ayah tiada penghujung.

Seorang bapa yang sudah menjangkau usia emas sanggup membanting tulang memandu lori barang bagi menampung kos ubat-ubatan anak perempuannya yang menghidap penyakit injap jantung.

Syed Muhammad Syed Abdullah, 50, yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kelantan sedih mengenang nasib anak keempat daripada lima beradik, Sharifah Azza Huraiyah, 14, yang dikesan menderita penyakit injap jantung tidak tertutup sejak setahun lalu.

Tidak terungkap sedihnya apabila kesihatan anaknya mula terjejas sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Lebih memeritkan, dia sendiri terpaksa menyaksikan anaknya berdepan situasi sukar bernafas, hilang selera makan dan sukar untuk tidur sehingga aktiviti hariannya terganggu.

Setiap bulan sebanyak RM250 sehingga RM300 perlu diperuntukkan untuk membeli ubat-ubatan khas bagi mengubati masalah injap jantung yang dihadapi anaknya.

Disebabkan itu, Syed Muhammad bertekad mencari rezeki lebih masa kerana upah atau gaji yang dibayar mengikut kuantiti barangan yang dibawa, iaitu kira-kira RM1,200 sebulan.

"Dia pada awal, jantung dia baru pergi periksa, baru tahu dia ada masalah injap tak bertutup.

"Lepas itu dia ditahan di HUSM sehingga 6 bulan tahun lepas. Mula dikesan seawal bulan puasa 2021.

"Lepas raya baru periksa, baru khabar ada masalah jantung. Sebelum ini tak tahu juga sebab kita tengok dia macam biasa, tak ada apa-apa dari kecil," katanya.

Dukanya sedikit terubat apabila menerima sumbangan katil bagi anaknya yang disampaikan pengerusi Cakna Penyayang, Mohd Zaki Mat Zin.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata pihaknya bersedia membantu memberi sumbangan katil dan kerusi roda kepada golongan yang memerlukan.

"Alhamdulillah hari ini saya dapat menyampaikan katil penyakit kronik kepada adik yang tinggal di perumahan PPR yang mana adik ini adalah pelajar daripada SMK Tengku Indra Petra 1, di Tingkatan 2.

"Setakat ini NGO saya telah menyumbang sebanyak 12 buah katil di jajahan Gua Musang dan 36 kerusi roda diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.