MELAKA: “Ayah saya bukan meninggal dunia kerana dibunuh.”
Demikian tegas seorang wanita, Azlina Md Said, 50, bagi menafikan dakwaan tular yang mengatakan bapanya meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.
Advertisement
Bapanya, Mat Said Bidin, 79, sebelum ini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Pulau Gadong sejak Ahad.
Menurut Azlina, bapanya itu ditemukan meninggal dunia di sebuah kawasan belukar di Pengkalan Batu pada Isnin.
Dia berkata, hasil pemerhatian awal mendapati tiada kesan kecederaan atau tikaman pada tubuh arwah yang menunjukkan unsur jenayah.
“Bukan kes bunuh kerana tiada kesan tikaman atau kecederaan pada badan arwah, sebaliknya berkemungkinan akibat serangan jantung.
“Semalam dia tidak pulang, kami sudah mencarinya tetapi tidak jumpa. Hari ini kami cari lagi sebelum menemukan motosikalnya dan kemudian menjumpai arwah dalam keadaan terbaring serta dikerumuni semut,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mencurigakan sehingga dikaitkan sebagai kes bunuh.
Keluarga mangsa sebelum itu turut berkongsi di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mengesan warga emas berkenaan yang tidak pulang ke rumah.
Azlina berkata, bapanya dipercayai ke kawasan tersebut untuk mencari hasil kampung seperti kelapa, jering dan mangga, namun mungkin terkena serangan jantung ketika berada di lokasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.44 tengah hari, Isnin mengenai penemuan mayat seorang lelaki di kawasan berhampiran Syarikat Air Bukit Sebukor, Jalan Pengkalan Batu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di dalam belukar dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
“Pemeriksaan fizikal oleh pegawai penyiasat dan pasukan forensik mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh si mati,” katanya.
Beliau berkata, keluarga mangsa memaklumkan warga emas itu keluar rumah pada Ahad dan tidak pulang sebelum usaha pencarian dilakukan sehingga mangsa ditemukan pada Isnin.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. - Sinar Harian