MALAYSIA
Ayah saya masih hidup, tiada kaitan dalam penyelesaian saman - Abdar Rahman Koya
Abdar Rahman (kiri) mempersoalkan keikhlasan Khalid (kanan) yang mendakwa menghormati bapanya, sedangkan saman itu difailkan dua kali dan berlarutan lebih lima tahun. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikut kenyataan daripada bekas ketua pengarang portal berita Free Malaysia Today (FMT), Abdar Rahman Koya sebagai respons kepada laporan media yang memetik kenyataan Khalid Samad dalam isu penyelesaian saman berhubung artikel bertajuk "Khalid presses on, tells Dr M to make way for Anwar" yang disiarkan FMT pada 26 Februari 2020.
Ringkasan AI
- Abdar Rahman menafikan dakwaan bahawa beliau mengaku melakukan kesilapan, dan menjelaskan bahawa kenyataan bersama hanya menyebut kekeliruan terjemahan hantaran Twitter Khalid, bukan pengakuan salah dari pihaknya.
- Beliau menegaskan bahawa bapanya, Koya Kutty, masih hidup dan sihat pada usia 91 tahun, serta tidak terlibat langsung dalam penyelesaian saman tersebut.
- Abdar Rahman mempersoalkan keikhlasan Khalid yang mendakwa menghormati bapanya, sedangkan saman itu difailkan dua kali dan berlarutan lebih lima tahun.
Kenyataan Khalid boleh dibaca di sini: Khalid tarik saman terhadap bekas Ketua Pengarang FMT
SAYA terkejut dan terkilan dengan beberapa laporan yang memetik bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ketika menjelaskan keputusan beliau untuk tidak meneruskan saman terhadap saya berhubung sebuah artikel diterbitkan portal FMT lebih 5 tahun lalu ketika saya merupakan ketua pengarang.
Beberapa laporan yang memetik kenyataan Khalid itu turut mengejutkan kami adik beradik kerana menyifatkan seolah-olah ayah kami telah meninggal dunia dengan menggunakan panggilan "Allahyarham", sedangkan dia masih aktif pada usia 91 tahun.
Khalid seperti mana dipetik mendakwa rasa hormat beliau terhadap ayah saya yang mendorongnya menarik balik saman tersebut, dan kemudian menambah: "Semoga Allah merahmatinya".
Seterusnya, laporan memetik beliau sebagai berkata kononnya saya "mengaku kesilapan dan kesal beliau ketika menulis dan menyiarkan berita itu".
Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:
1. Ayah saya masih sihat pada usia 91 tahun dan bukan seperti mana yang tersirat dalam ayat yang digunakan Khalid, sehingga dilaporkan media seolah-olah ayah saya "Allahyarham".
2. Ayah saya tidak ada kaitan langsung dengan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai melalui "Joint Statement" (Kenyataan Bersama) oleh kedua-dua pihak plaintif dan defendan (sila lihat di bawah kenyataan asal sepenuhnya).
3. Kenyataan bersama itu juga langsung tidak menyebut apa-apa kenyataan kononnya saya mengaku melakukan "kesilapan", sebaliknya ia menyebut terjemahan Inggeris sebuah hantaran Twitter oleh Khalid tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin dimaksudkan oleh beliau, dan oleh itu saya menyatakan rasa kesal sekiranya ada apa-apa salah faham dan kesan terhadap beliau.
Suka saya menasihati Khalid supaya tidak mengheret pihak yang tidak ada kaitan ke dalam kes saman beliau terhadap saya.
Kalau benar dakwaan beliau hormat terhadap ayah saya, mengapa memulakan saman ini dan membiarkannya berterusan sehingga lebih 5 tahun?
Tambahan pula, saman ini difailkan dua kali, iaitu kali pertama ketika saya masih ketua pengarang FMT, dan kali kedua difailkan ke atas saya seorang selepas Khalid mencapai penyelesaian dengan pihak pengurusan FMT.
Abdar Rahman Koya
30 Jun 2025