BATU PAHAT: Anak kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 107 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Yong Peng semalam, sempat berbual menerusi panggilan video bersama arwah bapanya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mohd Zaharuddin Ab Shukor, 45, berkata ketika menerima panggilan video daripada bapanya, Ab Shukor Athan, 68, dia sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Singapura ke rumahnya di Ulu Tiram, Johor Bahru, kira-kira 5 petang.
Bapanya sempat menyuruhnya segera pulang ke kampung mereka di Sri Lalang, Kluang, hari ini, dan pada mulanya dia menyangkakan kemalangan yang menimpa bapanya itu hanya kemalangan biasa, namun mula berasa pelik apabila paparan video hanya menunjukkan bahagian kaki mangsa.
“Memang minggu ini saya mahu pulang ke kampung (Sri Lalang), tetapi pelik apabila arwah ayah menyuruh pulang segera ... rupa-rupanya ia satu petanda. Tidak lama kemudian, telefon yang dipegang ayah seolah-olah terjatuh.
“Selepas itu, ada seorang wanita bercakap di talian meminta saya bersabar dan memaklumkan ada mangsa yang telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini hari ini.
Mohd Zaharuddin berkata kali terakhir dia bertemu ibu bapanya pada dua minggu lepas dan dia agak terkilan kerana hasrat untuk membawa bapa serta ibunya, Mariam Ibrahim, 65, keluar makan pada hari ini tidak kesampaian.
“Walaupun kemalangan ini meragut nyawa ibu dan bapa saya, saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan identiti empat individu termasuk dua kanak-kanak yang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan itu.
Beliau berkata empat mangsa yang maut merupakan penumpang pacuan empat roda, iaitu Ab Shukor Athan, 68, dan isterinya Mariam Ibrahim, 65, dari Taman Sri Lalang Baru, Kluang; serta dua cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, 1, dari Taman Mutiara Rini, Skudai.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda dari arah utara menghala ke selatan itu, dipercayai hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan lurus lalu melanggar bahagian sisi kanan belakang sebuah lori yang sedang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.
“Kenderaan itu kemudian dilanggar sebuah lagi kereta dari arah belakang,” katanya.
-- BERNAMA