Ayahanda Saudara Sultan Selangor mangkat

Bernama
Julai 8, 2019 16:29 MYT
Almarhum Tengku Ismail Shah yang diputerakan pada 26 Jun 1935 berusia 84 tahun. - Facebook Selangor Royal Office
Kerabat Diraja Bergelar, Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Sultan Hisamuddin Alam Shah telah mangkat pada kira-kira pukul 8.00 malam tadi.
Laman Facebook Selangor Royal Office dalam kenyataannya pada Isnin berkata Tengku Ismail Shah yang juga merupakan ayahanda saudara kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Pusat Perubatan Subang Jaya kerana sakit tua.
"Dukacita dimaklumkan Kerabat Diraja Bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah mangkat kembali ke rahmatullah pada pukul 8.00 malam 8 Julai bersamaan hari Isnin di Pusat Perubatan Subang Jaya kerana sakit tua.
"Jenazah almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Klang pada Selasa, esok sebelum solat Zohor.
"Almarhum yang diputerakan pada 26 Jun 1935 berusia 84 tahun, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh almarhum," kata kenyataan berkenaan.
-- BERNAMA
#Facebook #jenazah #Makam Diraja Klang #Pusat Perubatan Subang Jaya #sakit tua #Selangor Royal Office #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Tengku Besar Putra Selangor #Tengku Ismail Shah