AYOS 2025: ASEAN perkukuh agenda perkasa tenaga kerja masa hadapan

Para perwakilan bergambar semasa Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN bagi Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD). -Foto HRD Corp
KUALA LUMPUR: Negara-negara Anggota ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dengan menandatangani Kenyataan Bersama mengenai Pembangunan Kemahiran bagi Tenaga Kerja Masa Hadapan di ASEAN dalam Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) yang berlangsung di ibu negara.
Ringkasan AI
- Negara ASEAN menandatangani Kenyataan Bersama dalam Forum AFMM-HCD untuk memperkukuh pembangunan kemahiran tenaga kerja masa hadapan, dengan Malaysia sebagai peneraju AYOS 2025.
- Steven Sim menekankan tiga nilai teras agenda kemahiran ASEAN iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan, serta pentingnya perkongsian amalan terbaik dan pengiktirafan pensijilan kemahiran.
- Forum turut fokus kepada pembelajaran digital, ramalan keperluan kemahiran dan pertukaran maklumat pasaran kerja bagi memastikan daya saing rantau dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.

Steven Sim ketika menyampaikan ucap tama di AFMM-HCD. - Foto HRD Corp
Forum yang diadakan di bawah inisiatif ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 itu menghimpunkan pemimpin dan pakar serantau bagi membincangkan strategi memperkasa tenaga kerja ASEAN, dengan Malaysia memainkan peranan sebagai peneraju utama agenda pembangunan kemahiran rantau ini.
Majlis penyerahan Kenyataan Bersama disempurnakan oleh Steven Sim kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN lain.
Steven Sim turut menekankan bahawa agenda kemahiran ASEAN boleh dirangkumkan kepada tiga nilai teras iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan.
“Latihan kemahiran mesti boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, boleh disesuaikan dengan keperluan dunia sebenar khususnya dalam era Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan, serta perlu mampan dari segi sumber dan pembiayaan,” tambahnya.
Forum turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembelajaran digital, pertukaran maklumat pasaran tenaga kerja dan ramalan keperluan kemahiran yang lebih tepat bagi memastikan ASEAN kekal berdaya saing dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.
Ketua Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Syed Alwi Mohamed Sultan, pula berkata idea AYOS 2025 bermula daripada tekad bersama untuk melengkapkan setiap warganegara ASEAN dengan kemahiran, nilai dan peluang yang tepat untuk berjaya dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas.
“Setiap platform utama di bawah AYOS 2025 menandakan setiap satu perjalanan kita daripada visi kepada tindakan bersepadu, dengan menggerakkan bakat, memperkasa keterangkuman dan mempersiapkan rantau ini untuk masa hadapan, yang membawa kita ke Forum ini,” katanya.

Syed Alwi menegaskan komitmen beliau untuk memperkasa tenaga kerja masa hadapan di AFMM-HCD. -Foto HRD Corp
Beliau menambah bahawa AFMM-HCD berfungsi untuk mengukuhkan semula visi bersama Malaysia dalam mewujudkan ekosistem kemahiran yang inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan, sekali gus menterjemahkan visi tersebut menjadi kenyataan.
Malaysia, melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, memainkan peranan utama dalam menjayakan AYOS 2025 sempena kepengerusian ASEAN Malaysia, dengan sokongan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat ASEAN.
Penerimaan Kenyataan Bersama itu menegaskan semangat kolektif ASEAN untuk membina rantau yang terus belajar, berkembang dan makmur bersama, dengan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran transformasi global.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

