PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru golongan belia agar bersama-sama membina semula dunia yang lebih baik dalam era pasca COVID-19 menerusi projek 'Imagine the World Anew: An Open Call for Youth Voices on COVID-19 in Malaysia'.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Ying-Ru Lo berkata projek tersebut bertujuan untuk menggerakkan anak muda di negara ini untuk memberikan maklumat dan menyumbang kepada penggubalan dasar kesihatan kebangsaan dan serantau.

Katanya, projek berkenaan akan menyediakan platform kepada generasi akan datang untuk memberikan idea dan visi mereka tentang cara mereka membayangkan masa depan serta mewujudkan inovasi sosial untuk membina semula dunia yang lebih baik pasca pandemik.

“Belia berpeluang menjadi pemangkin utama kesihatan dan boleh membantu menentukan masa depan yang mereka inginkan.

“Panggilan terbuka ini memberikan peluang kepada mereka untuk benar-benar menyumbang mencari jalan penyelesaian bagi berdepan dengan cabaran terbesar yang wujud akibat pandemik tersebut.

“Ia penting bagi kami untuk mendengar idea-idea inovatif mereka dan memastikan mereka termasuk dalam tindak balas serta pembentukan dasar kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Projek tersebut merupakan hasil kerjasama WHO dan Impact Hub Kuala Lumpur dengan Social Entrepreneurship to Spur Health (SESH) dan University of North Carolina.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Lembaga Pengarah di Impact Hub KL, Dr Shariha Khalid Erichsen mengajak golongan belia di negara ini untuk mengambil peluang dan memikirkan semula masa depan dengan mengubah kehidupan sekarang dengan menyertai projek berkenaan.

Proposal projek tersebut memberikan fokus kepada tiga perkara iaitu inovasi sosial dalam kesihatan yang dipimpin belia, penyampaian mesej dalam kalangan belia serta pemikiran masa depan dan pemikiran strategik.

Anak muda berumur 15 hingga 30 tahun boleh menghantar proposal mereka dan tarikh akhir penghantaran proposal ialah pada 7 May ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan memohon untuk menyertai projek itu, sila layari https://kualalumpur.impacthub.net/imagine-the-world-anew-malaysia-youth-open-call-2021/