MALAYSIA

Ayuh Malaysia 2025 jamin kebajikan ekonomi, sosial masyarakat - Rafizi

Faida Rahim 27/07/2025 | 12:45 MYT
Rafizi berkata, pelancaran Ayuh Malaysia merupakan sebahagian daripada misi membangunkan sektor ketiga dalam ekonomi negara. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tujuh jenis perusahaan sosial diperkenalkan dan dijangka beroperasi bermula September tahun ini menerusi gerakan Ayuh Malaysia 2025 bagi menjamin kebajikan ekonomi serta sosial masyarakat.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pelancaran Ayuh Malaysia merupakan sebahagian daripada misi membangunkan sektor ketiga dalam ekonomi negara, iaitu perusahaan yang bermatlamatkan masyarakat tetapi dibiayai secara lestari melalui operasi perniagaan yang cekap dan berdaya saing.

"Sektor ketiga adalah sektor yang cukup penting. Tapi di Malaysia, kalau kita bercakap mengenai sektor ketiga, perusahaan sosial, jarang sekali orang memperkatakannya.

"Jadi, semasa saya bergelar Menteri Ekonomi, sewaktu kita merangka perancangan Rancangan Malaysia ke-13, satu bab yang penting ialah mempercepatkan penubuhan dan memampankan sektor ketiga di Malaysia.

"Jadi ini adalah sambungan yang perlu ada tetapi sektor ketiga ini perlu diusahakan oleh rakyat dan akan dilakukan Ayuh Malaysia. Lebih penting dengan adanya sektor ketiga, ia akan mengimbangkan beban kerajaan yang ada di masa akan datang," katanya.

Jelas beliau lagi, sektor ketiga dalam ekonomi negara merangkumi perusahaan sosial berasaskan komuniti juga merupakan komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang penting bagi mengimbangi beban fiskal kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan asas.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ayuh Malaysia 2025 di Kompleks Mutiara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Tujuh jenis perusahaan sosial yang dibangunkan ialah FlexiMart, iaitu kedai runcit harga berpatutan berkonsepkan isi semula atau beli mengikut keperluan sahaja manakala Kesum (Kenyang, Sedap, Murah) pula membolehkan orang ramai membeli juadah sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada harga hanya RM5.

Selain itu, katanya, terdapat juga bantuan bumbung solar kepada keluarga berpendapatan rendah menerusi inisiatif Suria, program kenegaraan dan penerapan kesedaran sivik (SagaSivik), CLIB iaitu latihan memasuki alam pekerjaan untuk belia dan lepasan pendidikan tinggi, latihan baik pulih gajet terpakai yang kemudian disewa serendah RM10 setahun menerusi PinjamGajet serta pertanian moden keledek atas tanah terbiar menerusi TanamDuit.

Rafizi juga memaklumkan, pasukannya telah menjalankan ujian rintis terhadap ketujuh-tujuh perusahaan sosial tersebut sejak Mei lalu sebelum mengumumkannya secara rasmi hari ini.






#Parlimen #Ayuh Malaysia 2025 #sektor ketiga #pendidikan