MALAYSIA

Ayuh Malaysia jadi platform baharu Rafizi bina jaringan rakyat

Kabeer Aziz 08/07/2025 | 03:10 MYT
Rafizi mengumumkan tumpuan baharunya dalam membina jaringan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan tumpuan baharunya dalam membina jaringan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia, susulan peletakan jawatannya daripada Kabinet selain kegagalannya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, bekas Menteri Ekonomi itu menjelaskan, perjuangannya dalam politik bermula sebagai aktivis yang memperjuangkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan meritokrasi dalam masyarakat.

Beliau menegaskan, perubahan tidak semestinya datang hanya dari pentas politik, tetapi juga perlu digerakkan dari akar umbi.

“Saya berlapang dada dan bersyukur dengan percaturan politik yang membawa kepada peletakan jawatan saya. Tumpuan saya kini ialah membina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial,” katanya.

Perusahaan sosial, menurut Rafizi, ialah entiti yang menjalankan aktiviti ekonomi dengan matlamat membantu masyarakat, bukan semata-mata untuk keuntungan.

Keuntungan yang dijana akan dikembalikan kepada pekerja dan komuniti menjadikannya lebih mampan dan berdaya saing berbanding perniagaan konvensional.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pandan itu turut menyatakan hasrat untuk membangunkan sektor ketiga iaitu sektor perusahaan sosial yang menggabungkan kecekapan perniagaan dengan matlamat sosial, sebagai alternatif kepada pertubuhan bukan kerajaan yang bergantung kepada sumbangan dan geran.

Platform Ayuh Malaysia, jelasnya, akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk:

• Mewujudkan perusahaan sosial dalam pelbagai bidang;

• Menyediakan kepakaran dan sokongan melalui jaringan rakyat;

• Menyusun sumber kewangan dan penyeliaan yang telus;

• Menghubungkan perusahaan sosial dengan kumpulan penerima manfaat.

Pelancaran rasmi Ayuh Malaysia dijadualkan berlangsung pada 27 Julai ini dengan perincian lanjut akan dibentangkan semasa majlis tersebut.

“Saya mengajak aktivis dan rakyat biasa untuk bersama-sama membina jaringan perusahaan sosial ini demi kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial rakyat,” tambah Rafizi.






#Rafizi Ramli #Ayuh Malaysia #jaringan rakyat #Rafizi letak jawatan