[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Azam Baki cadang rehatkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM terbabit kes dadah

Bernama 24/09/2025 | 06:10 MYT
Azam berkata TPR berkenaan baru sahaja melaporkan diri di suruhanjaya itu sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan insiden berkenaan adalah di luar jangka dan sudah disiasat polis. - Gambar fail
CYBERJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan mencadangkan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditahan polis semalam kerana disyaki memiliki dadah, direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan dijalankan.


Ringkasan AI
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mencadangkan kepada Peguam Negara supaya TPR yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan dijalankan.
  • TPR tersebut baru melaporkan diri ke SPRM sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara dan insiden itu berlaku di luar jangka serta telah disiasat oleh polis.
  • Proses tapisan kesihatan termasuk ujian saringan dadah terhadap TPR tertakluk kepada prosedur Jabatan Peguam Negara dan tindakan pengambilan dadah dianggap sebagai keputusan individu terbabit.


Azam berkata TPR berkenaan baru sahaja melaporkan diri di suruhanjaya itu sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan insiden berkenaan adalah di luar jangka dan sudah disiasat polis.

"Saya sendiri akan berbincang dan mencadangkan kepada Peguam Negara supaya pegawai ini direhatkan terlebih dahulu untuk tidak menjalankan apa-apa jua pendakwaan kes di mahkamah dan dia pun baru sahaja melaporkan diri kepada SPRM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Integrity and Leadership Day di Universiti Multimedia hari ini.

Mengulas mengenai proses tapisan kesihatan termasuk ujian saringan dadah dibuat terhadap pegawai terbabit, Azam berkata perkara itu adalah tertakluk kepada prosedur AGC memandangkan individu berkenaan berkhidmat di bawah jabatan tersebut.

"Sudah tentu (ada) tapisan termasuk ujian saringan dadah dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR itu. Ini satu perkara yang pada saya, adalah tindakan beliau sendiri yang mengambil dadah dan sebagainya, sekiranya ada," kata Azam.

Terdahulu, SPRM mengesahkan seorang TPR yang baru melaporkan diri minggu lepas ditahan polis semalam kerana disyaki memiliki dadah.

SPRM memaklumkan TPR terbabit ditahan di kediamannya dan pemeriksaan polis telah menemukan bahan terlarang disyaki dadah di rumah berkenaan.

-- BERNAMA



#SPRM #Azam Baki #Timbalan Pendakwa Raya #kes dadah