Azam Baki sahkan Muhyiddin akan didakwa esok

Bernama
Mac 9, 2023 05:28 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok.
Bercakap kepada Bernama, Azam berkata, ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.
Semalam, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media.
[TERKINI] Ketua Pesuruhjaya SPRM sahkan Muhyiddin didakwa esok
SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong Muhyiddin yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 7 pagi tadi. - BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Muhyiddin didakwa esok #SPRM #Azam Baki