JITRA: Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu program anjuran Kementerian berkenaan di Jitra petang tadi.

Menurut beliau, pelantikan Abdul Azeez ke jawatan berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan yang sebelum ini disandang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tambah Ahmad Zahid, ia juga memperkukuh jalinan membabitkan kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan Persekutuan selain memberikan ruang untuk mencapai matlamat yang ditetapkan KKDW.

"Peruntukan yang disediakan kepada Kedah (terutama) melalui KKDW dan juga KEDA harus dilaksana (dengan sebaiknya) kerana prestasi bukan dinilai daripada output perbelanjaan (atau peratusannya), tetapi apakah outcome (ataupun) keberhasilan yang boleh dirasai rakyat, (yang mana) rakyat (boleh) nikmat (kesannya).

"(Hal ini kerana) kepuasan hati rakyat diukur bukan melalui berapa banyak projek tetapi manfaat yang diterima mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Masjid Al-A'la, Jitra pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua kerajaan negeri yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) terutama Exco yang berada di bawah KKDW kerana sentiasa memenuhi jemputan bagi setiap mesyuarat yang diadakan.

Keadaan itu jelasnya akan mengeratkan jalinan antara kerajaan negeri dan Persekutuan meskipun berbeza parti selain akan memberikan manfaat besar kepada rakyat terutama di negeri terlibat.