KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memaklumkan, beliau menjalani pembedahan jantung di Australia pada hujung April lalu selepas disahkan menghidap masalah jantung yang 'mengancam nyawa'.

Menurut ‘The Pocket Rocketman’ dalam satu sidang media pada Ahad, hasil pemeriksaan mendapati jantungnya mengalami masalah yang dipanggil ‘anomalous aortic origin of right coronary artery’ (AOORCA) sejak lahir.

Berkongsi pengalamannya, Azizul mengadu mengalami sakit dada pada Februari lalu dan dirujuk kepada pakar jantung di Melbourne, Dr Barveen Aisha untuk pemeriksaan lanjut.

“Waktu diperiksa, saluran saya tersumbat dan flow tinggal 20 peratus lagi. Tambah lagi kalau saya buat senaman berintensiti tinggi,” katanya dalam sidang media secara maya.

Malah, Azizul berkongsi detik ketika beliau mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika melakukan persiapan menuju ke Olimpik Tokyo.

“Ia akan menjadi lebih teruk seiring peningkatan usia kerana otot jantung akan menebal, sekali gus menghimpitkan lagi saluran,” jelas beliau.

Saluran Jantung | Azizulhasni Awang jalani pembedahan jantung

Dalam sidang media sama, pakar bedah jantung Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon menjelaskan, atlet tersebut menjalani pembedahan pembetulan (corrective surgery) bagi memulihkan arteri ke tempat yang betul supaya tidak lagi tersepit.

Pembedahan selama tiga jam itu berjaya dilaksanakan oleh sepasukan pakar bedah jantung dan pakar bius di Hospital Epworth Richmound, Melbourne pada 21 April.

Rawatan Azizul berjalan dengan lancar dan beliau dibenarkan keluar dari hospital lima hari kemudian.

Atlet itu semakin beransur pulih, namun menjelaskan bahawa beliau akan mengambil masa yang secukupnya sebelum diberi kebenaran oleh doktor untuk memulakan semula latihan.

“Sekarang bukan waktu untuk saya mengejar masa. Saya kena fokus untuk pulih betul-betul dan memastikan sternum saya pulih antara enam minggu dan tiga bulan.

“Kemudian, kalau dapat clearance daripada doktor untuk memulakan latihan, dari situ kami akan bersedia untuk program latihan dan sebagainya,” jelas Azizul yang berusia 34 tahun itu.