Azizulhasni wira, Shah Firdaus juga kebanggaan negara
Astro Awani
Ogos 8, 2021 11:48 MYT
Ogos 8, 2021 11:48 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam debut Olimpiknya 10 tahun lalu, beliau hanya berada di tempat ke 10.
Namun beliau mendaki anak tangga satu demi satu, dan empat tahun lalu, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya berjaya pulang sebagai pemenang pingat Olimpik apabila memenangi pingat gangsa.
Edisi kali ini, beliau melonjak satu lagi anak tangga, apabila berjaya meraih kilauan pingat perak.
Justeru tidak hairanlah, ramai yang mula memasang impian untuk mendengar Negaraku berkumandang di pentas Olimpik buat kali pertama, dalam edisi akan datang.
Tiada istilah kecewa apabila Azizulhasni, atau mesra disapa Jijoe, membawa pulang pingat perak. Sebaliknya kalangan netizen yakin ia akan membawa rezeki dan kejayaan lebih besar buat negara pada masa depan.
Luahan rasa bangga juga dititipkan netizen untuk rakan sepasukan Jijoe, Muhammad Shah Firdaus Sharom. Kandas dalam saingan suku akhir, namun semangat juangnya yang meneruskan perlumbaan biarpun cedera akibat kemalangan pada Sabtu, mengundang sebak orang ramai.
Dengan prestasi semasa, ramai yang yakin masa depan skuad lumba basikal trek negara sememangnya cerah.
Olimpik Tokyo melabuhkan tirai dengan dua pingat dari kem negara.
Syabas, Team Malaysia!