MALAYSIA

Azlan Man buat tuntutan perjalanan ke seberang laut lebih RM900,000 - Saksi

Bernama 26/09/2025 | 13:30 MYT
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man hadir pada perbicaraan kesnya berhubung 10 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu dan penerimaan wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man telah membuat tuntutan berjumlah RM954,830.10 bagi perjalanan ke seberang laut dari 2014 hingga 2017.


Ringkasan AI
  • Bekas MB Perlis, Datuk Seri Azlan Man didakwa membuat tuntutan perjalanan luar negara berjumlah RM954,830.10 antara 2014 hingga 2017 melalui syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel.
  • Beliau berdepan 10 pertuduhan termasuk tuntutan palsu lebih RM1.18 juta serta menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.
  • Azlan didakwa di bawah Akta SPRM 2009, Akta AMLA 2001 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan, dengan perbicaraan bersambung pada 3 November ini.


Penolong Akauntan di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Aswad Abdul Razak, 42, berkata, tuntutan itu membabitkan wang berjumlah RM216,260 dan RM241,295.40 yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd masing-masing pada 2014 dan 2015 manakala RM253,195.40 dan RM244,079.30 dibayar kepada Aidil Travel & Tours Sdn Bhd pada 2016 dan 2017.

Mohd Aswad, yang sebelum ini memegang jawatan sama di Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, turut mengesahkan salinan invois daripada Sri Kedawang Travel berjumlah RM216,260 berkaitan perkhidmatan syarikat pelancongan tersebut kepada Azlan, yang ketika itu Menteri Besar Perlis.

"Ia membabitkan Kos Bagi Tiket Penerbangan & Hotel Penginapan ke London, United Kingdom," kata saksi pendakwaan ke-17 itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Azlan, yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Mohd Aswad juga mengesahkan salinan tax invoice daripada Sri Kedawang Travel membabitkan 12 Days 11 Nights London Tour Package (Full Package) berjumlah RM241,295.40 yang diberikan kepada Azlan.

Dirujuk kepada salinan invois daripada Aidil Travel berjumlah RM253,195.40, saksi itu berkata, dokumen berkenaan berkaitan dengan perkhidmatan Being Chargers for Air Ticket & Hotel Accommodation yang diberikan oleh syarikat pelancongan berkenaan kepada bekas Menteri Besar tersebut.

Beliau turut mengesahkan salinan invois daripada Aidil Travel bagi Tuntutan Bayaran Untuk Perkhidmatan Pakej Perjalanan ke Luar Negara Menteri Besar Perlis pada 23-30 November 2017 berjumlah RM244,079.30.

"Saya sahkan sepanjang berkhidmat dari 2014 di Bahagian Khidmat Pengurusan, pihak Pejabat Menteri Besar Perlis ada membuat permohonan berkenaan kemudahan Cuti Seberang Laut. Adalah menjadi kesalahan sekiranya permohonan tuntutan elaun cuti seberang laut dibuat tetapi ia tidak berlaku," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.

Mohd Aswad berkata, sekiranya pembekalan atau perkhidmatan tidak dilakukan, pembayaran tidak boleh dilakukan.

"Pembayaran dibuat berdasarkan pesanan kerajaan kepada pembekal atau syarikat setelah perkhidmatan yang diterima disempurnakan dan disahkan oleh Pusat Tanggungjawab berdasarkan dokumen-dokumen yang dikemukakan," katanya.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, beliau didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik kerajaan negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank Cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 November ini.

-- BERNAMA


#Bekas Menteri Besar Perlis #Azlan Man #tuntutan perjalanan ke seberang laut #Jabatan Pendidikan Negeri Perlis