Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom daripada tuduhan Akta Hasutan 1948 terhadapnya.

Menurut laporan portal The Star Online, Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah pada mulanya memohon kepada mahkamah supaya Azmi dilepas tanpa dibebas.

Namun demikian, Peguam bela Gobind Singh Deo berkata bahawa kes itu telah berlangsung selama 17 bulan dan semua saksi pendakwaan telah memberikan kenyataan mereka.

Gobind berkata tiada sebab untuk kes ini berterusan kerana Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membuat kenyataan untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Pada 12 Februari, Mohamed Apandi menggugurkan pendakwaan atas Azmi selepas mengkaji keterangan daripada semua saksi pendakwaan di mahkamah.

Azmi, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told.

Beliau didakwa menyatakan perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, turut didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.

Pada 14 Jan lepas, pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Azmi.

Timbalan pendakwa raya dan peguam Azmi, Gobind Singh Deo dijadualkan untuk mengemukakan hujahan mereka pada 19 Feb ini.

Pada 6 Okt lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan ialah undang-undang yang sah selepas menolak permohonan Azmi yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.