MALAYSIA

Azrol Anuar dilantik pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara

Bernama 01/12/2025 | 08:33 MYT
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad (tengah) menyaksikan penyerahan tugas jawatan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara kepada Supt Azrol Anuar Nor (kanan) yang kini dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Supt Azrol Anuar Nor dilantik pemangku Ketua Polis Daerah JBU yang baharu berkuat kuasa hari ini.


Ringkasan AI
  • Supt Azrol Anuar Nor dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara menggantikan SAC Balveer Singh Mahindar Singh.
  • Usaha untuk membanteras jenayah dan gejala buli menjadi fokus utama Azrol Anuar, dengan meningkatkan kerjasama pihak sekolah dan memperbaiki kawalan kesesakan lalu lintas.
  • Ketua Polis Johor yakin Azrol mampu mengurus kawasan JBU dengan baik, memastikan kecemerlangan pasukan dan keselamatan awam terus terjaga.


Beliau menggantikan SAC Balveer Singh Mahindar Singh, yang kini memegang jawatan sebagai Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lebih dua tahun mengetuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas diadakan di IPD JBU, disaksikan Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad.

Azrol Anuar, 43, ketika ditemui menggesa semua pegawai dan anggotanya agar terus memberikan kerjasama yang jitu dalam membanteras kegiatan jenayah, sekali gus memastikan ketenteraman awam.

Beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun berkata usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan gejala buli merupakan antara fokus utamanya.

"Libat urus bersama pihak sekolah akan ditingkatkan, disamping menambah baik kawalan isu kesesakan lalu lintas dan memperkasa keselamatan awam," katanya yang berasal dari Kedah.

Dalam pada itu, Ab Rahaman yakin kawasan JBU yang merupakan kawasan berprofil tinggi dan padat dengan kepelbagaian komuniti akan ditadbir dengan baik.

"Saya yakin beliau sebagai pemangku, mampu meneruskan momentum kecemerlangan dan terus menjaga kesiapsiagaan, disiplin anggota, hubungan masyarakat dan imej pasukan," katanya.

-- BERNAMA




#Azrol Anuar Nor #pemangku Ketua Polis Daerah JBU #Daerah Johor Bahru Utara #pelantikan