[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Bacaan kedua RUU PSB dijangka dibentang 6 Okt ini - Nga

Bernama 18/09/2025 | 09:33 MYT
NGA: Akta (PSB) ini penting bagi memperbaharui kawasan usang secara terancang, lebih inklusif dengan ambang persetujuan berperingkat dan menyokong pembangunan bandar mampan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dijangka dibentangkan pada 6 Okt ini di Dewan Rakyat, selepas ditangguhkan pada 27 Ogos lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.


Ringkasan AI
  • Bacaan kedua RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dijangka dibentangkan pada 6 Okt bagi membangunkan semula kawasan perumahan lama secara terancang dan inklusif.
  • KPKT juga melaksanakan penggubalan akta baharu serta penambahbaikan akta sedia ada berkaitan perumahan, termasuk Akta Sewaan Kediaman dan Akta Pemajuan Perumahan.
  • Sehingga kini, 98.8% rumah mampu milik di bawah RMK13 telah disiapkan, manakala Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) meluluskan lebih 93,000 permohonan bernilai RM22.14 bilion, majoritinya untuk golongan B40.


Beliau berkata perkara itu antara yang dibangkitkan menerusi mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) Bil.1 2025 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, yang antara lain membincangkan mengenai penggubalan akta baharu dan ekosistem perumahan dalam negara.

"Akta (PSB) ini penting bagi memperbaharui kawasan usang secara terancang, lebih inklusif dengan ambang persetujuan berperingkat dan menyokong pembangunan bandar mampan.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu seperti Akta Sewaan Kediaman dan pindaan serta penambahbaikan kepada akta sedia ada iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU PSB 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

Mengenai Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Nga berkata sasaran unit RMR akan ditingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), mengambil kira jumlah permohonan yang tinggi.

Berkenaan status pelaksanaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau berkata hingga 30 Jun lepas, 98.8 peratus atau 493,874 unit rumah mampu milik telah disediakan dengan penyediaan baki 6,126 unit disasarkan untuk dicapai menjelang penghujung tahun ini.

Bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula, beliau berkata setakat 31 Julai lepas sebanyak 93,231 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan yang dijamin sebanyak RM22.14 bilion.

"67 peratus penerima adalah dalam kalangan pembeli rumah bernilai RM300,000 ke bawah, selari dengan agenda perumahan mampu milik kerajaan. Majoriti kelulusan diberikan kepada golongan B40 yang merupakan golongan sasar utama skim ini," katanya.

Dalam pada itu, Nga turut menekankan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan golongan sasar bagi meningkatkan akses pembiayaan, pengetahuan berkaitan pembiayaan serta amalan pengurusan kewangan yang baik.

-- BERNAMA

#bacaan kedua RUU PSB #RUU Pembaharuan Semula Bandar #Nga Kor Ming #bentang di dewan rakyat