Badan kehakiman di bawah kepimpinan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria tahun ini telah memulakan langkah bagi memperkukuh serta memelihara integriti, kecekapan dan kebebasan badan itu.

Ia juga meneruskan pembaharuan sedia ada selain memperkenal beberapa langkah serta pendekatan baharu bagi menaik taraf sistem penyampaian dan pelaksanaan keadilan nasional ke peringkat lebih tinggi.

Transformasi itu melibatkan perubahan struktur, operasi, pentadbiran dan sumber mahkamah.

Hakim Arifin menyatakan bahawa satu tahap keyakinan yang tinggi serta kepastian terhadap integriti sistem kehakiman adalah perlu bagi menyediakan persekitaran lebih stabil kepada pelabur asing dalam pasaran tempatan.

Sebahagian perubahan di mahkamah tahun ini ialah penambahan bilangan hakim yang bersidang dalam panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan kes jenayah dan sivil serta permohonan untuk kebenaran merayu.

Bilangan hakim ditambah kepada lima dalam sesuatu panel berbanding tiga sebelum ini, yang bertujuan mempertingkat kualiti penghakiman dan keputusan.

Bilangan panel dan persidangan Mahkamah Persekutuan turut ditambah bagi mempercepat pendengaran kes rayuan.

Beberapa inisiatif baharu turut dilaksana di peringkat Mahkamah Rayuan bagi mempercepat pelupusan kes.

Ini termasuk menambah bilangan panel dan persidangan, penubuhan panel khas untuk mendengar rayuan interlokutari dan rayuan dari mahkamah rendah, memberi keutamaan kepada rayuan yang membabitkan hukuman mati serta penjawat awam selain mempercepat rayuan dari Mahkamah Komersial Baharu (NCC) dan Mahkamah Sivil Baharu (NCVC).

Bidang kuasa monetari mahkamah rendah juga diperluas dan berdasarkan pindaan Akta Mahkamah Rendah 1948, majistret mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan sehingga RM100,000 berbanding RM25,000 sebelum ini.

Bagi Hakim Mahkamah Sesyen, pindaan itu memberi kuasa kepada mereka untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta berbanding RM250,000 sebelum ini.

Badan kehakiman turut mengambil langkah berani dengan menggantikan Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980, yang diasaskan daripada undang-undang Mahkamah Agung England lama, dengan satu set peraturan baharu dikenali sebagai Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Ia menggabungkan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dengan prosedur standard lebih mudah serta bersepadu bagi memulakan prosiding perundangan di kedua-dua mahkamah, yang berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Ia bertujuan menambah baik sistem penyampaian badan kehakiman.

Prosedur jenayah turut diberi nafas baharu melalui pindaan Kanun Tatacara Jenayah bagi memasukkan proses persidangan praperbicaraan, pengurusan kes dan rundingan bagi pengakuan bersalah yang menyaksikan perbicaraan kes jenayah dipercepat.

Badan kehakiman turut menubuhkan pusat mediasi di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Baharu, Muar, Kuantan dan Ipoh.

Pusat Mediasi Mahkamah diperkenal apabila sesuatu kes di depan hakim dirujuk, dengan izin pihak yang terbabit, kepada hakim lain atau pendaftar untuk menjadi pengantara.

Mahkamah Alam Sekitar turut ditubuhkan badan kehakiman pada 3 Sept lepas, khusus bagi mendengar perbicaraan kes berkaitan alam sekitar.

Satu pusat sehenti diwujudkan di Istana Kehakiman bagi memudahkan orang ramai mendapat khidmat Pesuruhjaya Sumpah untuk mengesahkan dokumen awam.

Pusat itu turut memuatkan kaunter bayaran serta kaunter memfail dokumen di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rendah Jenayah Kajang, yang sebelum ini ditempatkan di bangunan Istana Kehakiman selama tujuh tahun, mula beroperasi di bangunan 11 tingkat Kompleks Mahkamah Kajang sejak Jun lepas.

Tahun ini turut menyaksikan persaraan beberapa hakim termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Low Hop Bing, Datuk K.N.Segara serta Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.