Skip to main content

Malaysia

Badan Kehakiman tonggak keadilan, kesejahteraan rakyat – Tengku Maimun

51767862342_TunTengkuMaimunTu.jpg
Tengku Maimun berkata integriti bukan sekadar memastikan seseorang tidak melakukan rasuah atau mematuhi peraturan, sebaliknya komitmen untuk melakukan perkara yang betul meskipun sukar, menjejaskan kedudukan peribadi atau tidak popular. - Gambar fail
Advertisement

BANGI: Badan Kehakiman merupakan institusi penting dan tonggak utama dalam menegakkan keadilan, memelihara kesejahteraan rakyat serta memastikan integriti negara terus dipertahankan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata institusi itu berperanan menjamin ketelusan dan kesaksamaan di bawah payung Perlembagaan Persekutuan selain memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan.

"Hakim-hakim memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan, melindungi hak asasi rakyat daripada sebarang penyalahgunaan kuasa serta menolak sebarang bentuk penyelewengan melalui kuasa semak dan imbang,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana “Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Beliau adalah Profesor Ikhtisas Fakulti Undang-Undang UKM merangkap Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz dalam Bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat mengikuti syarahan itu.

Hadir sama Pro-Canselor UKM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tan Sri Datuk Rafiah Salim, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Datuk Johan Idris serta Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh.

Tengku Maimun juga berkata peranan kritikal Badan Kehakiman sebagai benteng, pelindung dan pengawal Perlembagaan menjadi semakin jelas apabila ia memastikan tiada institusi negara, sama ada Eksekutif mahupun Legislatif, melampaui batas kuasa yang diberikan Perlembagaan.

Beliau berkata Malaysia mengamalkan prinsip ketertinggian Perlembagaan, bukannya doktrin kedaulatan Parlimen seperti di United Kingdom.

"Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan bahawa mana-mana undang-undang yang digubal selepas Hari Merdeka, jika tidak selaras dengan Perlembagaan, adalah terbatal setakat ketidakselarasan itu.

“Di sinilah terletaknya peranan kritikal dan tanggungjawab berat Badan Kehakiman sebagai benteng, pelindung dan pengawal Perlembagaan," katanya.

Tengku Maimun berkata peranan Badan Kehakiman dalam melindungi hak dan kesejahteraan rakyat dapat dilihat melalui beberapa keputusan mahkamah berkaitan hak mencari sara hidup, alam sekitar, kebebasan bersuara, hak tanah adat orang Asli serta kewarganegaraan.

Beliau juga berkata integriti pula bukan sekadar memastikan seseorang tidak melakukan rasuah atau mematuhi peraturan, sebaliknya komitmen untuk melakukan perkara yang betul meskipun sukar, menjejaskan kedudukan peribadi atau tidak popular.

Tengku Maimun berkata budaya organisasi yang hanya mementingkan pematuhan secara dangkal akan melahirkan individu yang sekadar mencari kelompangan undang-undang bagi mengelakkan hukuman, sedangkan integriti moral menuntut seseorang untuk bertanya apakah perkara paling betul dan wajar dilakukan.

Beliau berkata integriti turut bergantung kepada kompas dalaman yang mendorong seseorang melakukan perkara yang hak ketika tiada sesiapa melihat selain keupayaan berdepan tekanan, desakan dan godaan dari luar.

Tengku Maimun berkata pembudayaan integriti memerlukan ketekalan antara ucapan dan pelaksanaan, sistem pemantauan yang telus, pelantikan berdasarkan merit, penguatkuasaan undang-undang secara saksama serta ketegasan mengenakan hukuman tanpa pilih kasih.

"Integriti, pada tahap tertinggi, adalah kesedaran penuh bahawa tiada rahsia peribadi, dokumen sulit, transaksi luar rekod dan niat yang terlindung daripada pengawasan-Nya," katanya.

Beliau juga berkata konsep “Jiwa Merdeka” bukan sekadar merujuk kepada kebebasan daripada penjajahan fizikal sebaliknya merupakan proses pembebasan yang berterusan dan aktif.

"Ia (menuntut) kebebasan minda untuk berfikir secara rasional, kebebasan daripada belenggu rasuah, penyelewengan, keruntuhan akhlak, daripada kezaliman penyalahgunaan kuasa serta kebebasan daripada kompromi etika yang menggadaikan maruah diri semata-mata demi kelangsungan pangkat dan kedudukan," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement